Friday, September 24, 2010

SUSU OH SUSU!

Artikel dr susuibu.com
Nukilan : Nor Kamariah Mohamad Alwi, IBCLC
Tarikh: 21 Februari, 2010

Keperluan pengambilan susu di dalam diet ibu mengandung mahupun ibu yang sedang menyusu sejak akhir-akhir ini telah dipropagandakan secara berleluasa oleh syarikat-syarikat pengeluar susu formula. Hasilnya, ibu-ibu semakin kurang keyakinan terhadap budaya pemakanan seimbang dan beranggapan dengan mengambil susu yang diformulakan dengan pelbagai khasiat yang dilabelkan pada tin masing-masing adalah yang terbaik hingga berasa bersalah atau kurang lengkap jika tidak berbuat demikian.

Mengikut sejarah peradaban manusia dan segala hidupan mamalia yang lainnya, keperluan setiap spesis terhadap susu ibu masing-masing memang wujud sejak azali lagi. Namun, kebergantungannya terhadap susu tidak pula berpanjangan sehingga dewasa. Cuba fikirkan, adakah orang utan, lembu, kambing, atau unta (serta sekalian spesis mamalia lain selain manusia) minum susu semasa mengandung untuk memastikan anak yang dikandung sihat atau semasa menyusukan anak masing-masing untuk memastikan anak yang disusukan mendapat cukup susu?

Hakikatnya, (saya petik dari Wikipedia),
"Humans are an exception in the natural world for consuming milk past infancy,despite the fact that more than 75% of adult humans show some degree (some as little as 5%) of lactose intolerance, a characteristic that is more prevalent among individuals of African or Asian descent.[4] "
Reference:
[4] Champe, Pamela (2008). "Introduction to Carbohydrates". Lippincott's Illustrated Reviews: Biochemistry, 4th ed.. Baltimore: Lippincott Williams & Wilkins. pp. 88. ISBN 0-7817-6960-0.

Walaupun susu adalah salah satu sumber makanan yang kaya dengan pelbagai khasiat, namun ianya BUKANlah satu-satunya sumber makanan yang WAJIB diambil, tetapi jika boleh mengambilnya, atau tiada alahan terhadapnya, bolehlah diambil secara berpatutan, tidak berlebihan dan sebagai sebahagian daripada diet setiap hari. Apa sahaja yang diambil secara berlebihan boleh memudaratkan. Di dalam kehidupan, kita memerlukan keseimbangan.

Pertimbangkan juga isu etika dalam penghasilan susu secara industri ini telah menggalakkan perlakuan kekejaman ke atas makhluk lemah seperti lembu (dan mungkin juga haiwan mamalia lain): contohnya bagaimana anak lembu dipisahkan dari ibunya sebaik kelahiran, demi manusia boleh mengumpul kolustrum dari lembu (yang belum tentu bersesuaian untuk manusia), lalu si anak lembu pula dibiarkan menangis (kerana tidak dapat menyusu) ditepi ibunya agar sang ibu mendengar tangisan dan mendapat kesan "ejection reflex" dan lebih banyak susu dapat dikumpulkan. Tidak cukup dengan itu, anak lembu jantan dibunuh (bukan untuk dimakan) secara berleluasa kerana tidak berupaya menghasilkan susu dan tidak boleh melahirkan anak lembu yang baru. Bukankah manusia seringkali angkuh dan suka melakukan kekejaman?

Gambar hiasan dari http://milkmyths.org.uk/intro.php - Ibu lembu menanti bilakah saat perpisahan dengan anaknya, dan kelak sang ibu akan menjadi 'mesin pengeluar susu'

Saya sarankan, baca sejarah mengenai susu di dalam Wikipedia untuk mendapat gambaran sewajarnya. Juga baca tentang kekejaman manusia terhadap spesis lembu di MilkMyths.

Saya juga ingin menyeru ibu-ibu agar tidak terpengaruh dengan hebahan iklan yang berleluasa di luar sana kononnya perkembangan otak anak-anak akan jadi kurang baik jika ibu tidak mengambil susu berjenama XYZ semasa mengandung atau susu yang dihasilkan kurang berkhasiat jika tidak mengambil susu ABC dalam tempoh penyusuan. Baca tentang fakta tentang pemakanan seimbang dan politik serta latar belakang syarikat pengeluar susu yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata!

PERLUKAH ANAK DI PERKENALKAN DGN SUSU FORMULA APABILA SAMPAI UMUR TERTENTU?

Artikel saya ambil dr susuibu.com
Oleh: Nor Kamariah Mohamad Alwi.

Saya rasa masih ramai ibu yang masih keliru tentang keperluan pemakanan bayi. Pemikiran dan pandangan masyarakat kita telah terlalu 'terpesong' dengan saranan dan iklan yang berleluasa di TV, surat khabar mahupun radio di mana anak 'sangat perlu minum susu' dan akan kekurangan zat pula jika tidak mengambilnya.

Ada sebab kenapa anak yang disusui dengan susu ibu tidak gemar mengambil susu formula pada mana-mana peringkat:

1. Pertama rasa susu formula sangat tidak menarik, paling hebat yang dapat diformulasikan oleh syarikat pengeluar susu buatan hanyalah perisa vanila, coklat dan strawberi. Tetapi jika minum susu ibu, si anak dapat merasai pelbagai jenis rasa makanan mengikut apa yang ibu makan.
Oleh itu, moralnya: selepas khatam minum susu ibu, berilah makanan seimbang - bukan susu cap ABC atau XYZ. Ini kerana si anak telah terbiasa dengan pelbagai perisa yang terdapat dalam susu ibu, maka langkah seterusnya adalah eksplorrasi terhadap makanan sebenar tanpa mengecewakan citarasa yang telah terbentuk sejak dari bayi lagi.

2. Kedua, apalah ada pada tekstur susu semata-mata. Apabila anak sudah membesar, mereka perlu diberi peluang untuk merasai tekstur makanan yang berbeza-beza seperti keras, liat, lembut, kenyal dan pelbagai lagi. Tetapi jika mereka hanya dihidangkan susu, susu dan susu sahaja, pasti kebosanan akan melanda anak tersebut. Mereka perlu rasa bahawa daging itu liat, sayur perlu dikunyah perlahan-lahan, sup boleh dihirup, nasi boleh dimamah. Tidak seperti susu yang hanya dihisap dari botol sahaja.

3. Ketiga, warna pada susu amat membosankan. Paling hebat warna yang boleh dicampur adukkan dalam susu formula adalah warna putih, merah jambu atau coklat. Tetapi jika anak diberi peluang untuk mengenali makanan sebenar, mereka mengenal warna yang pelbagai lagi, kuning, jingga, hijau, ungu, merah, dan macam-macam lagi.

Ada banyak lagi sebab-sebab lain yang boleh difikirkan. Apa yang penting dan harus difahami oleh setiap ibu, tabii untuk seorang bayi adalah untuk minum susu ibu sahaja pada 6 bulan pertama. Tetapi sebaik umur anak mencukupi 6 bulan, bayi tersebut perlu diberi pendedahan terhadap pemakanan pejal yang seimbang sebagai pelengkap. Keutamaan pada peringkat umur 6 hingga 12 bulan adalah susu ibu kemudian makanan.

Tetapi apabila anak sudah menjangkau usia setahun, keutamaan harus diberikan kepada makanan pejal dan pelengkapnya adalah susu ibu.

Yang lengkap itu adalah pemakanan seimbang, bukan sekadar formula yang seimbang yang dilabelkan pada tin-tin yang berkilat lagi berwarna keemasan di pasaraya tempatan kerana ertikata sebenar lengkap itu adalah lebih meluas lagi mencakupi aspek pembelajaran dan eksplorasi anak sepanjang proses mengenali makanan tersebut.

Manusia ditakdirkan untuk membesar dengan pemakanan yang seimbang, bukan untuk bergantung dengan hanya minum susu sepanjang hayat.

Nasihat saya, apabila melihat iklan dikaca TV atau mendengar iklan di corong radio, nilaikan maksud tersirat lagi tersurat disebalik dakyah yang disebarkan. Jangan cepat terpengaruh!

Perkara ini akan saya kupas lanjut di dalam Majalah Pa&Ma pada bulan Ogos 2010. Sila dapatkan naskah anda masing-masing.