Tuesday, January 19, 2010

Masalah Penyusuan





Kebanyakan penyebab masalah penyusuan ialah seperti berikut


* Lewat memulakan penyusuan
* Penyusuan yang tidak kerap dan terlalu berjadual.
* Mencampurkannya dengan susu formula, air atau jus.
* Menggunakan puting kosong atau buaian elektrik
* Kedudukan menyusu dan cara hisapan yang tidak betul
* Bayi tidak diberi susu pada waktu malam. (Atau diberi susu formula atau susu ibu yang diperah)

PUTING SAKIT


Puting yang sakit ialah tanda-tanda hisapan yang tidak betul. Bila bayi menyusu, bibirnya perlu berada di luar dan seluruh bahagian areola berada dalam mulutnya. Untuk memperbaiki keadaan ini, tarik dagu bayi ke bawah dengan perlahan dan keluarkan bibirnya jika mendapati bibirnya termasuk ke dalam ketika menghisap. Jangan gunakan pelapik baju dalam yang kalis air jika mendapati puting sakit. Setiap kali hendak penyusuan selesai, perah sedikit susu dan sapu pada puting. Cara ini boleh membantu mempercepatkan ibu sembuh.

KEKELIRUAN PUTING


Bagi sesetengah bayi, hisapan pada puting kosong atau puting botol akan menjejaskan hisapan pada payu dara. Ini kerana pola hisapan antara puting botol dan payu dara adalah berbeza. Bayi yang pernah diberi susu botol akan menghisap payu dara ibu dengan cara yang sama seperti menghisap puting botol. Oleh itu, puting ibu akan terasa sakit. Hisapan pada puting botol juga tidak perlu terlalu kuat kerana susu mudah mengalir keluar dari botol. Apabila bayi menggunakan cara yang sama untuk menghisap puting payu dara ibu, susu ibu akan kurang mengalir keluar. Ini menyebabkan bayi tidak mendapat cukup susu manakala ibu menyangka susunya tidak cukup banyak untuk bayi. Dia terpaksa memberi susu botol. Ini menjadikan bayi lebih gemar susu botol dan akhirnya bayi kurang berminat dengan susu ibu. Lama kelamaan, bayi akan menyusu susu botol sepenuhnya. Bagi mengelakkan kekeliruan ini, nsaihatkan anak atau menantu anda agar memberi susu ibu sepenuhnya selama empat bulan. Jangan beri susu botol terlalu awal. Jika terpaksa mencampurkan susu ibu dengan susu formula, gunakan lah cawan kecil, sudu kecil, penyuntik ubat atau lain-lain peralatan.

BAYI MENGANTUK

Jika berat badan bayi tidak meningkat dengan baik dan sentiasa sahaja tertidur ketika menyusu, bayi perlu dikejutkan dengan kerap. Untuk mengatasi masalah ini, jangan balut bayi dan pastikan kulitnya bersentuhan dengan kulit ibu ketika sedang menyusu. Bagi mengatasi kesejukan, selimut bayi dengan kain selimut selepas meletakkan dia dengan betul di payu dara. Selain itu, urut kakinya bagi membuatkan dia terjaga.

SENDAWA


Sesetengah orang terutama dari generasi anda menyangka kita perlu membuatkan bayi sendawa selepas menyusu. Pendapat ini tidak tepat. Bayi tidak semestinya sendawa. Memang baik jika bayi sendawa selepas membuat beberapa percubaan untuk membolehkannya sendawa. Tetapi tidak mengapa jika dia tidak sendawa langsung setelah mencuba beberapa kali.

PEMAKANAN IBU DAN PENGAMBILAN AIR

Dalam kebanyakan kes, ibu menyusu perlu kira-kira 300-500 kalori lebih daripada biasa bagi mengekalkan berat badannya. Ibu menyusu perlu makan makanan seimbang dan makanan semulajadi. Elakkan makanan yang diproses. Jika bayi meragam, periksa samada ibu telah makan makanan yang tidak sesuai dan sensitif terhadap bayi. Minum lebih banyak air bagi menambah pengaliran susu. Tapi, jangan minum berlebihan. Minum sekadar untuk menghilangkan dahaga. Biasanya, ibu menyusu akan terlupa minum kerana sibuk menjaga anak. Terdapat juga kepercayaan lama bahawa ibu yang masih dalam pantang tidak boleh minum banyak air. Pendapat ini salah dan akan memberi kesan kepada pengaliran susu ibu.

ENGGAN MENERIMA BOTOL


Jika bayi enggan menerima susu ibu daripada botol ketika anak atau menantu anda bersedia untuk kembali ke tempat kerja, anda perlu latih cucu anda itu secara perlahan-lahan. Beri susu melalui botol dengan cara memangkunya dan mendodoinya perlahan-lahan. Anda juga boleh memberi susu melalui botol ketika dia mengantuk. Adalah lebih baik jika anda atau ahli keluarga lain yang memberikannya botol, bukan ibunya sendiri.

BERHENTI MENYUSU BUAT SEMENTARA WAKTU

Ada ketika, anak atau menantu anda tidak boleh menyusu bayi buat sementara waktu tapi masih mahukan agar susu terus mengalir kerana hendak mempastikan yang bayi tetap mendapat khasiat susu ibu. Oleh itu, galakkan anak atau menantu anda memerah susunya dalam jangkamasa yang sama dengan penyusuan susu ibu yang dilakukannya sebelum ini. Cara perahan yang baik ialah menggunakan tangan. Caranya ialah seperti berikut :- Letak ibu jari di atas puting dan dua jari lain di bawah, agak jauh daripada areola. Tolak jari ke belakang sehingga ke dinding dada. Kemudian, tolak semula ke depan. Lakukan beberapa kali. Elakkan memicit puting. Jika mempunyai payu dara besar, ampu payu dara itu dengan tangan yang sebelah lagi.

BAGAIMANA MENGETAHUI BAYI MENDAPAT CUKUP SUSU?


Bagi bayi yang menyusu susu ibu sepenuhnya, anda boleh mengetahuinya dengan cara :
Hisapan Bayi : Lihat cara bayi menghisap. Jika dia berhenti selepas setiap kali menghisap, ini bermakna dia mendapat susu yang banyak dan sedang menelan susu itu. Jika dia melakukan perkara ini berulang kali (hisap dan telan) selama beberapa minit, anda akan yakin bahawa dia sudah pun mendapat susu yang banyak.
Membuang Air Besar: Beberapa hari yang pertama, najis bayi berwarna hijau gelap dan melekit. Ini dipanggil "mekonium". Pada hari ketiga, najis akan menjadi lebih cair dan kekuningan. Bayi berusia di bawah enam minggu perlu membuang air besar sekurang-kurangnya 2-5 kali dalam tempoh 24 jam. Jika terlalu jarang membuang air, sistem penghadamannya mungkin sudah kukuh. Jika najis yang keluar setiap kali membuang air besar adalah sedikit jumlahnya, bayi akan lebih kerap membuang air besar, mungkin melebihi lima kali dalam tempoh 24 jam. Jika najis terlalu sedikit, berwarna hijau, kelihatan cair dan kerap pula membuang air kecil, ini mungkin menunjukkan bayi mengalami ketidakseimbangan antara susu pertama dan susu akhir. Mungkin juga bayi mengalami sindrom terlebih susu. Ini berpunca daripada kekerapan menukar payu dara setiap kali menyusu. Dengan cara ini, bayi hanya mendapat susu cair di peringkat awal penyusuan dan tidak mendapat susu yang pekat dan kaya dengan lemak yang hanya didapati di akhir penyusuan. Dalam kes ini, biarkan bayi menyusu pada sebelah payu dara sehingga payu dara menjadi lembut dan bayi berhenti menelan susu. Kemudian, baru lah menukar kepada payu dara lain. Jika mendapati pengaliran susu terlalu banyak, beri lah sebelah payu dara sahaja setiap kali menyusu. Keadaan ini mungkin bertentangan dengan amalan anda di suatu masa dahulu. Dahulu, anda dinasihatkan memberi susu menggunakan kedua-dua belah payu dara pada setiap penyusuan. Amalan ini tidak semestinya diikut kerana penyusuan pada sebelah payu dara akan mempastikan bayi mendapat segala khasiat yang diperlukan. Ingat! Susu yang keluar di peringkat awal penyusuan ialah susu pertama (foremilk) yang kaya dengan protin dan air, manakala susu yang keluar di akhir penyusuan ialah susu akhir (hindmilk) yang kaya dengan lemak. Biasanya, bayi yang berusia lebih dari tiga minggu, tidak lagi membuang air besar dengan kerap. Kadang kala, mereka tidak membuang air dalam tempoh beberapa hari, tanpa adanya tanda-tanda akan terkena sembelit. Jika bayi kelihatan sihat dan riang, perkara ini adalah normal.
Membuang Air Kecil : Bayi berusia di bawah enam minggu, sepatutnya membuang air sebanyak 7-8 kali sehari. Anda boleh mengetahuinya dengan mengira jumlah lampin yang basah. Jika memakai lampin pakai buang, jumlah lampin yang basah dan berat ialah antara 5-6. Jika memakai lampin kain, jumlahnya ialah 7-8 helai. Bagaimanapum, pada dua tiga hari selepas kelahiran, bayi hanya membuang air kecil sebanyak 2-3 kali sahaja kerana pada waktu itu, susu belum lagi dihasilkan sepenuhnya oleh payudara. Bayi yang lebih besar pula, kurang membuang air kerana pundi-pundi kencing mereka semakin matang. Bagaimanapun, air kencing mereka lebih banyak daripada bayi kecil. Air kencing bayi sepatutnya berwarna jernih dan sedikit berbau.

MENGENALPATI MASALAH


Segera dapatkan bantuan kesihatan jika mendapati :- · Bayi kurang membuang air kecil selepas hari ketiga kelahirannya; · Hisap bayi amat perlahan, lemah dan mengantuk setiap kali diletakkan di payu dara ; · Najis bayi masih berwarna hijau walaupun melepasi hari kelima kelahirannya; · Bayi tertidur di payudara sebelum menghisap susu dengan bersungguh-sungguh.

Bagaimana mendapatkan bantuan? Jika anak atau menantu anda mengalami masalah penyusuan dan tidak dapat menyelesaikannya, segera dapatkan bantuan sebelum membuat keputusan untuk menyuruhnya berhenti menyusu dengan susu ibu. Kebanyakan masalah boleh diselesaikan dengan mudah, menggunakan nasihat yang betul. Bagaimanapun, sesuatu masalah lebih mudah diatasi, jika bantuan dan nasihat diperolehi lebih awal.

Sumber dari:
http://www.susuanibu-pk.gov.my/penyusuan-susu-ibu-2.htm

Cerai Susu & Makanan Pejal



Soalan yang biasa didapati dari ibubapa:

* Berapa lamakah harus saya meneruskan penyusuan?
* Bilakah bayi saya perlu diberi makanan pejal?
* Bagaimana saya hendak tahu bila saya sudah bersedia untuk menerima makanan pejal?

Sebenarnya, hanya anda yang mengetahui masa yang terbaik untuk memulakan makan pejal kerana anda adalah orang yang paling mengenali bayi anda.

Untuk pengetahuan anda


* Susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi dalam tahunnya yang pertama.
* Kebanyakan bayi mula mengambil makanan pejal antara 4-6 bulan. Sesetengah bayi yang disusui dengan susu ibu mula mengambil makanan pejal ini antara 6-8 bulan.
* Memulakan makanan pejal terlalu awal boleh menyebabkan alahan dan "overfeeding". · Bayi mula berhenti menyusu apabila bayi sudah mengambil makanan lain secara tetap.

Tanda-tanda menunjukkan bayi sudah bersedia untuk makanan pejal:

* Bayi mula mencapai makanan yang terletak dihadapannya.
* Bayi meletakkan permainannya di dalam mulut
* Gigi mula tumbuh.

Memulakan makanan pejal

* Cuba perkenalkan makanan pejal pada masa bayi tidak lapar iaitu antara waktu susuan, satu atau dua kali sehari.
* Mulakan dengan satu sudu buah-buahan yang telah dihancurkan ataupun jus.
* Perkenalkan satu makanan baru setiap 3-4 hari. Ini dapat membantu anda mengenalpasti alahan yang didapati.
* Campurkan makanan dari semua kumpulan makanan untuk 3-4 bulan yng berikut.

Cadangan makanan pejal:


* Sayur-sayuran - bayam, lobak, labu.
* Buah-buahan - pisang, betik, epal.
* Daging - ayam, lembu, ikan.

Apabila bayi berumur 9 bulan, bayi mesti mendapatkan semua kumpulan makanan dalam sehari. Semasa menyediakan makanan bayi, pastikan garam tidak di tambahkan. Makanan bayi yang dibuat di rumah adalah yang terbaik kerana ia sentiasa segar dan tidak mengandungi sebarang pengawet.

Bilakah saya patut berhenti menyusukan bayi saya?

Tanya diri anda sendiri:

* Adakah bayi saya masih mahu terus menyusu?
* Adakah saya rasa seronok dan ingin terus menyusu?

Penyusuan boleh diberhentikan apabila anda dan bayi sudah bersedia, bukan kerana orang-orang disekeliling dan memberitahu:

* Anak anda sudah terlalu besar.
* Anak anda sudah mula tumbuh gigi dan selalu menggigit.
* Anda terlalu memanjakan anak anda.

Berhenti menyusu

Anda dinasihatkan untuk berhenti menyusu secara perlahan-lahan atau berperingkat. Ini memberi peluang kepada badan anda dan anak anda menyesuaikan diri. Bekalan susu anda akan mulai berkurangan apabila anda kurang menyusu. Setiap hari anda bolehlah memberi secawan susu atau jus buah-buahan sebagai ganti susu ibu. Selepas 3-4 hari, berikan secawan lagi untuk menggantikan penyusuan yang seterusnya. Teruskan begini sehingga anda tidak lagi menyusu. Rancangkan aktiviti lain untuk anak anda pada waktu penyusuan. Bapa boleh membantu dengan membawa anak anda ke taman permainan atau membaca buku untuk mengalihkan perhatian anak anda. Anak anda memerlukan lebih perhatian dan belaian semasa melalui proses ini.

Menyusu anak yang besar

* Sesetengah ibu gemar menyusui anak mereka yang sudah besar - lebih dari 1 atau 2 tahun.
* Ibu dan anak mendapat kepuasan dengan dakapan semasa penyusuan.
* Anak yang besar akan berhenti menyusu dengan sendirinya apabila mereka telah bersedia.
* Penyusuan dengan susu ibu akan membekalkan makanan yang baik untuk anak anda dan mengekalkan kesihatan anak, walaupun dia hanya menyusu sedikit sahaja.
* Lambat laun anak anda akan membesar dan hilang minat untuk terus menyusu.
* WHO serta UNICEF menggalakkan ibu untuk meneruskan penyusuan susu ibu selama 2 tahun atau lebih.
* Risiko untuk mendapat kanser payudara berkurangan apabila ibu menyusu dengan lebih lama.


Sumber dari:
http://www.susuanibu-pk.gov.my/penyusuan-susu-ibu-2.htm

Menyusukan Bayi tidak cukup bulan & Memerah Susu Ibu

Susu anda adalah susu yang paling sesuai untuk anak anda yang tidak cukup bulan.

* Ia melindungi bayi anda dari kuman dan infeksi.
* Susu ibu mudah di cerna.
* Mendekatkan hubungan ibu dan bayi.
* Susu ibu baik untuk perkembangan otak.

Bayi yang dilahirkan secara tidak cukup bulan mungkin tidak tersedia untuk menyusu dalam beberapa hari, kadangkala beberapa minggu. Anda bolehlah memerah susu anda sejurus selepas kelahiran untuk memberi kapada bayi. Jika anda perlu menggunakan pam, hubungilah Kaunselor Laktasi mengenai pam susu. Terdapat pelbagai jenis pam di pasaran sekarang. Mintalah nasihat untuk membeli pam yang paling sesuai dengan keperluan anda.

Memerah susu

* basuh tangan anda dengan sabun dan air.
* Duduklah di tempat yang sunyi tanpa ramai orang yang lalu lalang.
* Duduk dalam keadaan selesa di kerusi yang tegak dengan kaki tersokong.
* Sediakan minuman di sebelah anda.
* Tarik nafas dan relaks.
* Cuba urutkan payu dara untuk beberapa minit sebelum dan semasa memerah susu.
* Bayang dan fikirkan tentang anak anda.
* Jika perlu sediakan muzik/lagu yang menyenangkan.
* Anda sekarang sudah bersedia untuk memerah atau mengepam susu.

Waktu terbaik untuk memerah susu


* cuba perah atau pam susu anda setiap 3 jam pada siang hari dan sekali selepas tengah malam.
* Buatlah perancangan awal agar dapat memerah sekurang-kurangnya 6 kali dalam sehari.
* Lakukkan proses pemerahan 10-15 pada setiap payu dara. Anda mungkin mahu memerah secara bergilir-gilir pada kedua belah payu dara dalam satu sesi pemerahan.
* Pemerahan yang kerap adalah satu-satunya cara untuk mengekalkan bekalan air susu.
* Pastikan anda mempunyai waktu rehat yang mencukupi.

Cara menyimpan susu ibu yang diperah

* Susu ibu yang diperah boleh di simpan di dalam botol atau bekas yang telah disterilkan. Gunakan bekas yang dibuat dari plastik.
* Ia boleh tahan disimpan seperti berikut: 2 hari - di dalam peti sejuk (chiller) 2 minggu - di dalam peti sejuk beku (freezer) peti sejuk dua pintu 3 bulan - peti sejuk beku (freezer)
* Gunakan bekas/botol steril baru setiap kali susu diperah.
* Catatkan nama,tarikh dan masa perahan pada botol/bekas yang disimpan.

Persediaan untuk pulang ke rumah

* Ada juga hospital di mana ibu dibenarkan tinggal di hospital semasa bayi berada di unit kawalan rapi. Jika ini tidak dibenarkan, ibu perlu melawat hospital setiap hari untuk beberapa sesi penyusuan.
* Hubungan rapat antara anda dan bayi anda akan memberikan anda keyakinan diri untuk menjaganya di rumah ketika pulang kelak. Cara ini juga dapat memastikan bayi anda dapat susu anda.
* 2-4 hari sebelum bayi dibenarkan pulang, cuba dapatkan kebenaran untuk tinggal di hospital dan susui bayi anda sepenuh masa.

Mula menyusu


* Sebaik sahaja bayi anda stabil dan boleh bernafas dengan baik, dakaplah bayi anda di dada.
* Buatlah dakapan dengan sentuhan kulit ke kulit.
* Pegang bayi, riba dengan sokongan bantal.
* Jika anda merasa tidak yakin untuk menjaga bayi ini, perkara seperti ini adalah normal. Anda dan bayi anda memerlukan masa untuk belajar.
* Walaupun kemajuan yang dicapai agak lambat, anda perlu bersabar. Saat-saat manis ini merupakan saat-saat istimewa antara anda dan bayi anda.

Pulang ke rumah

* Galakkan bayi anda untuk menyusu dari payu dara setiap 11/2 -3 jam.
* Perahkan/pamkan susu selepas penyusuan dalam 2-3 minggu pertama. Ini dapat membantu untuk mengekalkan bekalan yang mencukupi. Susu yang di perah ini merupakan susu akhir yang kaya lemak. Ini boleh digunakan sebagai tambahan bila diperlukan kelak.
* Jika bayi anda menghasilkan 6 lampin basah dan 2 lampin kotor sehari, ini bererti bayi mendapat susu yang mencukupi.
* Anda mungkin perlu memberi susu tambahan (perahan susu ibu) dari cawan atau penitis selepas anda menyusuinya. Jarang sekali bayi diberi "susu berformula" kerana ini tidak digalakkan.
* Hubungilah Kaunselor Laktasi anda yang terdekat untuk maklumat lanjut.

Sumber dari:
http://www.susuanibu-pk.gov.my/penyusuan-susu-ibu-2.htm

Mula Menyusukan Bayi

Penyusuan Pertama

* Susui bayi anda dalam 1 jam yang pertama selepas kelahiran. Ini mempercepatkan pembentukan susu. · Pastikan posisi anda selesa.
* Sentuhkan puting anda diatas mulut bayi sehingga mulutnya dibuka luas.
* Pastikan bayi anda menghisap keseluruhan puting dan 1 inci tampuk anda.
* Bayi anda tidak memerlukan susu berformula atau air. Susu anda adalah makanan yang terbaik untuknya.
* Cuba menyusu pada kedua-dua belah payu dara pada setiap susuan.
* Bayi yang baru lahir perlu disusui setiap 2-3 jam, siang dan malam.
* Susukan bayi jika ia kelihatan lapar.

Skedul Penyusuan


* Bagi minggu-minggu pertama, anda mungkin perlu mengejutkan bayi dari tidur untuk diberi susu. Kejutkan bayi setiap 2 jam pada waktu siang. Bayi akan dapat menyesuaikan dirinya dengan siang dan malam.
* Biarkan bayi menyusu selama mana boleh. Jika masa penyusuan terlalu singkat, bayi mungkin menjadi lapar kerana tidak mendapat susu yang cukup.
* Bayi yang diberi susu ibu tidak memerlukan botol susu. Memberi bayi menghisap dari botol susu boleh mengurangkan bekalan susu dan juga menjadikan bayi keliru.

Adakah susu ibu sahaja mencukupi?

YA! Anda mempunyai bekalan susu yang mencukupi apabila:


* Anda menyusukan bayi anda 8-12 kali dalm 24 jam.
* Bayi mempunyai sekurang-kurangnya 6 lampin basah dan 2 lampin kotor dalam masa 24 jam. Najis bayi yang menyusu dengan susu ibu berwarna kekuningan dan lembut/cair.
* Kenaikan berat badan bayi anda ialah 120-200gm seminggu.
* Bayi anda kelihatan senang dan tidak lapar selama 1-2 jam diantara waktu penyusuan.

Penjagaan Puting

Keringkan puting anda di udara selepas setiap penyusuan, sapukan sedikit susu yang telah diperah pada puting, ia dapat membantu dalam penyembuhan dan perlindungan puting.

Menggunakan diari penyusuan

* Anda boleh menggunakan diari penyusuan ini untuk memudahkan rujukan semasa perbincangan dengan Kaunselor Penyusuan sekiranya anda ingin mengetahui lebih mengenai penyusuan.
* Catatkan masa anda mula menyusu. Catatkan jangkamasa penyusuan di setiap belah payu dara. Catatkan diruangan basah atau kotor setiap kali lampin bayi ditukar.
* Mulakan pada muka surat yang baru setiap hari. Ini membolehkan anda melihat pula jadual penyusuan sehari (24 jam) dalam satu muka surat.

"Tumbesaran pantas"


Bayi akan melalui proses "tumbesaran pantas" pada masa: 2 minggu, 6 minggu, 3 bulan. Semasa proses ini, ibu biasanya merasakan tidak mempunyai bekalan susu yang mencukupi. Bayi perlu disusui lebih kerap lagi, bagi memenuhi keperluan bayi. payu dara anda akan menghasilkan lebih susu apabila kekerapan penyusuan bertambah. Sebenarnya, bayilah yang mempengaruhi bekalan susu yang ada. Payu dara mengambil masa 2 hari untuk menambahkan bekalan susu. Selepas proses "tumbesaran pantas" ini, bayi akan kembali pada pola penyusulan yang asal

Sumber dari:
http://www.susuanibu-pk.gov.my/penyusuan-susu-ibu-2.htm

Mengejutkan Bayi Yang Mengantuk

Bayi yang mengantuk

Jika bayi anda sedang tidur dan anda ingin mengejutkannya untuk menyusu, anda bolehlah mencuba teknik-teknik ini:

* Tanggalkan pakaian dan lampin bayi.
* Dakapkan bayi dengan sentuhan kulit ke kulit.
* Urutkan bayi dengan pergerakan lembut jari-jari tangan dan kaki ke dada.
* Usap tangan dan kaki bayi.
* Sentuh dan usap belakang badan bayi dengan jari-jari anda.
* Dengan jari yang bersih sentuh pipi bibir dan mulut bayi.
* Geletek dagu bayi.
* Bercakap dan nyanyi pada bayi dengan nada suara yang normal.
* Salinkan lampinnya.
* Sapukan muka bayi dengan tuala pelembap.
* Gerakkan bayi perlahan-lahan.


Sumber dari:
http://www.susuanibu-pk.gov.my/penyusuan-susu-ibu-2.htm

Menuju ke arah penyusuan Efektif

Mengenali Penyusuan Efektif

Susuilah bayi anda mengikut keselesaan anda dan bayi. Biasanya bayi yang baru lahir menyusu 12 kali sehari Bagi setiap penyusuan yang efektif anda harus:

* memegang bayi dalam posisi yang selesa tanpa menegangkan bahagian belakang, bahu, lengan ataupun tangan.
* Penggunaan bantal untuk membantu meninggikan kedudukan bayi dapat mengelakkan lengan dari menjadi lenguh. Jika saiz payu dara anda agak besar, gunakan kain lampin yang telah digulung untuk disendalkan di bawah payu dara sebagai sokongan. Kain lampin gulung yang diletakkan di bawah lengan atau tangan juga dapat menyokong kepala bayi dan mengelakkan ketegangan otot lengan.
* Kekalkan kedudukan, mulut bayi akan merangkumi keseluruhan puting dan 1 inci bahagian tampuk susu. Bibir atas dan bawah bayi tergulung sedikit terkeluar dan dagunya mencecah payu dara

Menyusu dengan selesa


* Anda mungkin merasakan satu sensasi tegangan lembut pasa puting dan areola (tampuk susu) semasa menyusu. Jika penyusuan di laksanakan dengan betul, anda akan merasa selesa. Jika anda mengalami kesakitan, berhenti menyusu dan mula semula.
* Lihat pergerakan mulut, leher dan dahi bayi. Apabila bayi anda menyusu dengan baik, anda akan melihat pergerakan mulutnya. Anda juga dapat melihat pergerakan dahi dan leher bayi semasa aktiviti penelanan susu.
* Mendengar bunyi susu ditelan. Bayi mungkin menghisap dengan pantas pada permulaan susuan diikuti dengan penelanan susu. Kadangkala bayi berhenti seketika sebelum sambung menghisap semula.

Bagi mencapai keselesaan pada setiap penyusuan:

* Bayi yang lapar akan menghisap dengan pantas pada awal penyusuan. Apabila penyusuan diteruskan untuk beberapa minit, bayi menjadi lebih selesa dan akan menghisap dengan lebih perlahan.
* Semasa menyusu, bayi mungkin tertidur. Ini adalah tanda yang bayi sudah kenyang.
* Bayi yang mendapat susu yang mencukupi tidak banyak merengek. Bayi yang baru lahir mungkin terjaga dari tidur bila dialihkan kedudukannya ke atas katil atau tilam. Cuba dakap bayi, ini dapat menenangkannya. Jika bayi tetap menangis dan merengek, hubungi Kaunselor Laktasi anda.
* Selepas hari ketiga, bayi yang mendapat susu yang mencukupi akan mendapat 6 lampin basah dan 2 lampin kotor sehari. Jika bilangan lampin yang di tukar kurang bilangan di atas, sila hubungi doktor pakar kanak-kanak atau kaunselor Laktasi.

Monday, January 18, 2010

Petua Penyusuan Yang Berjaya




AMALAN POSITIF

* Persediaan mental sebelum kelahiranadalah penting Dapatkan maklumat-maklumat berguna mengenai penyusuan susu ibu semasa hamil.
* Yakinkan diri yang susu anda mencukupi untuk bayi anda.
* Susuilah bayi dalam keadaan tenang dan banyak berehat pada minggu-minggu awal selepas kelahiran bayi.
* Pastikan penyusuan dilakukan dengan posisi yang baik dan selesa supaya tidak terasa lenguh dan mengelakkan masaalah seperti sakit putting.
* Makan makanan yang seimbang dan minum air yang mencukupi.
* Ingatlah bahawa bekalan susu ibu bergantung kepada rangsangan. Lagi kerap bayi menyusu,semakin banyak susu akan dihasilkan.

AMALAN NEGATIF

* Jangan terpengaruh dengan kata-kata bahawa susu anda tidak mencukupi untuk bayi anda. Ingatlah jika anda berupaya melahirkan seorang bayi ke dunia ini, anda sudah pasti mampu memberikannya susu yang terbaik!
* Jangan berikan bayi anda susu botol tambahan atau air masak Bayi tidak perlu diberikan makanan atau minuman lain kecuali susu ibu hingga berusia 4 hingga 6 bulan. Cara menghisap puting botol dan puting buah dada adalah berbeza. Ini boleh mengelirukan bayi dan akan meggagalkan Penyusuan susu ibu
* Jangan menyusu dalam keadaan terburu-buru. Masa 6 minggu pertama adalah `masa latihan' untuk ibu dan bayi. Masa, ketenangan dan kesabaran akan menyelesaikan banyak masaalah.
* Jangan risaukan kekerapan bayi membuang air besar. Adalah perkara biasa bayi yang diberi susu ibu kerap membuang air besar. Najis ini biasanya cair sedikit dan berwarna kekuningan. Adakalanya bayi tidak membuang air besar beberapa hari lamanya. Ini juga perkara biasa.

DAPATKAN NASIHAT DAN BANTUAN

Dapatkanlah bantuan yang betul bila menghadapi masaalah penyusuan. Berikut adalah senarai tempat dan nombor talipon di mana terdapat kakitangan atau kaunselor yang telah terlatih dalam pengendalian penyusuan susu ibu di Malaysia. Kakitangan yang dihubungi boleh merujuk anda kepada mereka yang lebih mahir, jika sekiranya mereka tidak mampu untuk menolong anda. Telefonlah untuk bertanya. Jika perlu, perjumpaan mungkin boleh diaturkan.

Sumber dari:
http://www.susuanibu-pk.gov.my/penyusuan-susu-ibu-2.htm

Mengapa Bayi Harus di beri Susu Ibu

Susu ibu adalah makanan semulajadi yang dianugerahkan khusus untuk bayi anda. Ia mengandungi segala khasiat yang diperlukan dengan komposisi yang betul. Ia mudah dicerna dan sentiasa tersedia dalam suhu yang sesuai pada bila-bila masa. Susu ibu mengandungi antibodi yang tidak ternilai yang dapat melindungi bayi anda daripada jangkitan dan alahan,terutama dalam bulan-bulan pertama. Perkembangan dan kecerdasan seseorang bayi juga adalah lebih baik bila mendapat khasiat susu ibu. Dengan menyusui bayi,ibu juga akan mendapat beberapa keuntungan. Penyusuan susu ibu dapat menjalinkan perhubungan rapat antara ibu dan anak. Hisapan bayi di buah dada mengeluarkan rangsangan hormon yang membantu mengecutkan rahim ibu dengan lebih cepat dan mengurangkan perdarahan selepas bersalin. Ramai ibu kembali kepada berat badan dan bentuk asal dengan mudah bila menyusukan bayi.


Penyusuan yang berpanjangan dapat menghindari barah buah dada dan barah ovari. Tidak kurang pentingnya, penyusuan susu ibu adalah sangat mudah,terutama bila dalam perjalanan,menjimatkan masa dan belanja.

BOLEHKAH SEMUA WANITA MENYUSUI BAYI?

Secara lumrahnya setiap wanita dikurniakan dengan kebolehan untuk menyusui bayinya. Dengan adanya keyakinan dan pengetahuan setiap wanita boleh melakukannya. Saiz buah dada tidak boleh dijadikan ukuran sebanyak mana susu akan dihasilkan. Kekerapan bayi menghisap akan merangsang penghasilan susu ibu yang banyak,mengikut permintaan bayi. Masaalah puting yang leper atau tenggelam juga tidak sepatutnya menjadi halangan. Mereka yang menghadapi masalah sebegini sebaiknya mandapatkan bantuan professional yang boleh membantu mereka.

PERSEDIAAN SEMASA HAMIL

Tempoh kehamilan sebaiknya dipenuhi dengan aktiviti untuk mempelajari ilmu keibubapaan. Dapatkanlah dan bacalah sebanyak mana mungkin mengenai penyusuan susu ibu serta lain-lain aspek penjagaan anak. Jika berpeluang, hadirilah kelas-kelas ibu mengandung bersama suami anda. Buah dada anda biasanya membesar sedikit semasa hamil kerana pembesaran kelenjar-kelenjar susu. Untuk menampung buah dada, baju dalam yang berukuran satu saiz lebih besar biasanya diperlukan. Gunakan air biasa sahaja untuk mencuci buah dada. Elakkan penggunakan sabun kerana ianya boleh mengeringkan kulit buah dada. Pastikan buah dada diperiksa oleh doktor untuk memastikan anda tidak mempunyai masaalah di buah dada. Pada bulan-bulan akhir, pelajarilah cara-cara memerah susu. Pengetahuan ini akan membantu anda selepas kelahiran bayi, sekiranya perlu.

SELEPAS MELAHIRKAN BAYI

Hari-hari pertama selepas kelahiran memanglah amat meletihkan, namun kuatkan semangat anda kerana bayi anda amat memerlukan susu ibunya! Bayi yang baru lahir mempunyai naluri hisapan yang kuat. Susuilah bayi anda secepat mungkin selepas dilahirkan. Pengalaman menyusui bayi yang baru lahir adalah satu pengalaman indah bagi seseorang ibu. Susuilah bayi anda dengan kerap, mengikut permintaannya, bukan mengikut jadual waktu yang tertentu. Sudah tentu, jika bayi anda lebih suka tidur, bangunkahlah dia dan galakkan dia menyusu lebihkurang setiap 3 jam. Hari-hari pertama adalah waktu-waktu yang penting. Buah dada mungkin belum dipenuhi susu, namun susu ini tersangat penting. Susu awal ibu tidaklah banyak tetapi pekat dan berwarna kekuningan. Susu ini dinamakan kolustrum dan kaya dengan protein serta antibodi yang boleh melindungi bayi dari penyakit. Kolustrum ini sudah cukup untuk mengenyangkan bayi anda. Bayi tidak perlu diberi susu botol tambahan ataupun air masak. Bekalan susu ibu bergantung kepada rangsangan. Buah dada biasanya penuh dengan susu selepas hari kedua hingga keenam.Semasa ini, buah dada terasa membengkak dan kurang selesa. Teruskan menyusu bayi anda dengan lebih kerap dan anda akan merasa lebih selesa apabila penyusuan berjalan lancar (biasanya dalam masa 2-3 hari). Buat permulaan , bayi anda mungkin akan menghisap selama beberapa minit sahaja. Biarkan dia menghisap lebih lama jika mahu. Keperluan seseorang bayi adalah berlaian daripada bayi yang lain. Anda haruslah menyusui bayi bergilir-gilir di kedua-dua buah dada. Ini adalah supaya kedua-dua buah dada terangsang dengan cukup agar susu dapat dihasilkan dengan kadar yang mencukupi. Susuilah bayi anda dengan kedudukan yang selesa. Anda bolehlah duduk atau baring mengikut keselesaan anda. Gunakan bantal untuk mengampu tangan atau belakang,jika mahu. Pastikan bayi mengiring rapat menghadap anda agar dia dapat memasukkan sebanyak mungkin kawasan areola (tampuk hitam disekitar puting) ke dalam mulutnya. Posisi penyusuan yang baik akan dapat mengelakkan masaalah seperti sakit puting atau kurang susu. Jika anda menghadapi masaalah,kami syorkan anda mendapat bantuan dari mereka yang mahir.

Sumber:
http://www.susuanibu-pk.gov.my/penyusuan-susu-ibu-2.htm

Penyusuan Susu Ibu dari pandangan Islam

pabila seorang bayi dilahirkan ke dunia ini, dia memerlukan ibunya. Bayi itu perlu diberi makanan yang diserap melalui darah ibunya semasa di dalam kandungan. Makanan ini telah ditukar dengan kehendak dan kuasa Allah kepada susu yang mengandungi semua kandungan pentingdan perlu untuk tumbesaran bayi itu. Al-Quran ada menyebut tentang penyusuan ibu dan perhubungan antara bayi dan ibu susunya iaitu apabila ibunya tidak dapat menyusu dengan sebab-sebab tertentu maka ibu susu diupah untuk menyusuinya.

"Dan Ibu-Ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu"

Dari ayat di atas (AL-BAQARAH:233) kita dapat pendirian berikut:
PERTAMA
Adalah kewajipan ibu untuk menyusui bayinya dan meyempurnakan haknya untuk menikmati dan mendapat kebaikan susu ibu, jika dia mampu.

KEDUA
Tempoh penyusuan susu ibu bagi mereka yang ingin memenuhinya ialah dua tahun.

"Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya: dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). Kemudian jika kedua-duanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang dapat dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Al-Baqarah:233
KETIGA
Bapa sepatutnya membantu ibu yang sedang menyusu dengan menyediakan keadaan yang ibu itu perlukan untuk menyusu. Ini menunjukkan yang Islam menganggap penyusuan susu ibu itu sebagai kewajipan utama yang ibu patut laksanakan. Disini, ibu tidak patut dibebani dengan kerja yang lain. Adalah jelas si sini bahawa al-Quran sudah menjelaskan hak ibu yang sedang menyusu.

KEEMPAT
Jika bapa tiada atau sudah meninggal dunia, salah seorang ahli keluarga harus mengambik alih tanggunggjawab terhadap bayi dan ibu untuknya terus menyusu.

KELIMA
Menceraikan susu adalah dibenarkan sebelum tamat tempoh dua tahun dengan syarat. Keputusan ini dibuat setelah mendapat persetujuan kedu-dua ibu dan bapa, setelah mereka membincangkan kebaikan dan keburukan keputusan yang dibuat serta cara untuk memberi penjagaan yang rapi kepada anak.

KEENAM
Ibu yang mampu dan boleh menyusui bayinya adalah di galakkan mengupah orang lain untuk menyusui bayinya. Islam memrintahkan bapa untuk memberi upah kepada ibu yang meyusukan anaknya. Dengan cara ini, Islam memastikan anak itu mendapat segala keperluannya dalam tempoh penyusuan itu.

Allah telah memenuhi segala keperluan bayi dan susu yang dihisap olehnya tiga hari pertama dalam kehidupan bayi. Buah dada ibunya akan menghasilkan sejenis cecair berwarna kekuningan iaitu kolestrom yang terdapat dalam kuantiti yang kecil. Cecair ini sudah cukup untuk memenuhi segala keperluan makanan bayi dalam hari-hari pertama kehidupannya. Tambahan pula ia membantu bayi untuk mula menerima dan mencernakan makanan yang dihisapnya. Dalam masa 24 jam buah dada ibu menghasilkan susu yang diperlukan untuk makanan bayi sehinggalah dia mencerai susu.

Ibu yang enggan menyusui bayinya tanpa sebab yang munasabah telah mengabaikan satu tanggungjawab hakiki terhadap bayinya yang telah diamanhkan oleh Allah. Penyusuan susu ibu menjanakan perasaan keibuan dan memperkayakan sifat kasih sayang. Selain dari apa yang diperkatakan tadi, penyusuan susu ibu menggerakkan sistem penghadaman ibu untuk menghasilkan makanan untuk bayi, dengan itu juga memprtingkatkan kesihatan ibu tersebut. Penyusuan susu ibu juga boleh menolong mengembalikan ibu kepada keadaan aal (sebelum bersalin) dengan cepat dan mengurngkan risiko barah buah dada dan ovari. .


Sumber:
http://www.susuanibu-pk.gov.my/penyusuan-susu-ibu-2.htm

Penyusuan Susu Ibu Hak Wanita

Penyusuan susu ibu adalah hak seseorang wanita. Wanita dianggap sebagai dinafikan hak mereka sekiranya mereka terpaksa menyusu di dalam keadaan yang tidak memberangsangkan. Antaranya ialah ketiadaan cuti bersalin yang panjang; kekurangan sokongan keluarga, kakitangan kesihatan atau majikan; ketidaksesuaian prosedur hospital; ketidaksesuaian persekitaran tempat kerja; salahtafsiran maklumat yang disalurkan oleh pengiklan makanan bayi; dan pantang larang yang menjadi amalan masyarakat secara turun temurun. Situasi-situasi seperti ini lah yang menjadi halangan dan rintangan kepada wanita untu meneruskan hak menyusu anak masing-masing. Oleh itu, sebarang halangan samada yang telah disebutkan di atas atau halangan lain, perlu dihapuskan sama sekali.
Apabila semua wanita memahami akan hak mereka, mereka akan menjadi penyusuan susu ibu sebagai amalan yang tidak boleh ditolak lagi. Amalan ini lah yang akhirnya akan dapat mengukuhkan kedudukan wanita dalam masyarakat dan menyumbang kepada keseimbangan gender.

Sehingga hari ini - walaupun taraf dan imej wanita semakin tinggi di mata masyarakat - wanita yang bergelar ibu masih terpaksa berhadapan dengan cabaran-cabaran dari segi penysuan susu ibu dan penjagaan anak-anak. Cuti bersalin yang pendek, persekitaran tempat kerja yang tidak sesuai untuk menyusu atau memerah susu atau ketiadaan pusat asuhan kanak-kanak yang berhampiran tempat kerja telah memberi kata dua kepada wanita - samada berhenti kerja atau tidak melahirkan anak/tidak menyusu anak. Keadaaan ini amat negatif dan mencabar keupayaan wanita samada dari segi kerjaya atau reproduktiviti.

Selain itu, penyusuan susu ibu berjaya mencabar konsep yang disebarkan oleh industri pemakanan bayi bahawa cara yang paling ideal untuk membesarkan bayi ialah dengan memberinya susu formula dan penyusuan melalui botol. Selain itu, pengeluar makanan bayi juga mengiklankan makanan-makanan tambahan yang lain agar diberi kepada bayi pada usia terlalu muda. Konsep ini secara langsung dan tidak langsung, berjaya di dalam minda wanita yang bergelar ibu di seluruh dunia. Oleh yang demikiam, semua wanita perlu memulakan penyusuan susu ibu bagi menafikan konsep yang digembar-gemburkan oleh golongan yang ingin mengaut keuntungan dari segi wang ringgit.

Galakan dan sokongan penyusuan susu ibu oleh semua pihak seperti suami, ahli keluarga, kakitangan kesihatan dan majikan adalah satu cara untuk mengiktiraf hak wanita. Penyusuan susu ibu adalah dianggap sebagai isu kewanitaan. Seluruh anggota masyarakat perlu memberi peluang kepada wanita untuk memanfaatkan keistimewaan yang diberikan kepada mereka. Penyusuan susu ibu adalah yang terbaik untuk wanita, bayi, keluarga, negara dan dunia. Ia semulajadi, mempunyai nilai ekonomi kerana ia menjimatkan wang dan dapat membantu dari segi menyelamatkan sistem ekologi. Penyusuan susu ibu juga adalah hak istimewa seorang wanita. Setiap bayi pula, berhak menerima susu ibu.

PENYUSUAN SUSU IBU DAN HAK REPRODUKTIF

Di persidangan antarabangsa dan di dalam beberapa dokumen antarabangsa, penyusuan susu ibu telah diberi pengiktirafan sejagat kerana sumbangannya kepada kehidupan kanak-kanak. Namun demikian, kurang perhatian ditumpukan kepada peranan dan kepentingannya dalam memperkukuhkan kedudukan wanita. Penyusuan susu ibu sebenarkan berupaya memperkukuhkan kedudukan wanita dalam masyarakat. Melaluinya, wanita dapat menjamin aspek kesuburan, kesihatan diri, kesihatan anak-anak dan menjarakkan kehamilan. Pengetahuan ini bukannyan perkara baru. Malah, ia sudah lama wujud di kalangan masyarakat tradisional. Bagaimanapun, akhir-akhir ini ia menjadi kabur akibat pengaruh komersial dan kemodenan. Penyelidikan terkini menunjukkan bahawa wanita yang menyusu dengan susu ibu sepenuhnya selama enam bulan selepas bersalin, tidak akan didatangi haid. Kemungkinan seseorang wanita menyusu (yang mempunyai bayi di bawah umur enam bulan) akan hamil ialah dua peratus sahaja. Kaedah merancang kelahiran anak cara ini disebut Amenorea Laktasi (Lactational Amenorrhoea Method : LAM). Di beberapa tempat di mana kaedah pencegahan hamil secara moden tidak ada, tidak mampu diperolehi atau tidak diterima oleh masyarakat, penyusuan susu ibu dianggap cara berkesan untuk perancangan keluarga. Oleh itu, sekiranya kaedah perancangan keluarga yang lain tidak diamalkan oleh wanita, kemerosotan penyusuan susu ibu akan menyumbang kepada peningkatan kadar kelahiran bayi setiap tahun. Penyusuan susu ibu membenarkan wanita menjarakkan kehamilannya secara berkesan, mengikut kesuburannya dan bebas daripada tekanan-tekanan masyarakat.

PENYUSUAN SUSU IBU MENGUATKAN KEUPAYAAN WANITA.

Dalam konteks ini, menguatkan keupayaan wanita bermaksud :-

* keupayaan untuk memahami dan menentukan kehendak peribadi, sosial, ekonomi dan politik serta mampu bertindak untuk memperbaiki taraf kehidupan masing-masing; ·
* satu bidang atau cabang aktiviti yang dapat membantu wanita menegakkan hak individu yang akhirnya membawa kepada perjuangan menentang atau mencabar apa saha yang menghalang wanita daripada meneruskan hak masing-masing;
* satu proses mengubah prosedur/situasi yang boleh meminggirkan wanita daripada arus perdana atau meletakkan wanita di tahap bawah/tidak penting.

Oleh itu, wanita digalakkan mengenalpasti halangan-halangan yang terpaksa dihadapi dalam usaha untuk menyusu bayi dengan berjaya. Wanita lain perlu tampil bersama-sama untuk memberi sokongan dan membantu menghapuskannya.

BAGAIMANA PENYUSUAN SUSU IBU DAPAT MENGUKUHKAN KEUPAYAAN WANITA

* Penyusuan susu ibu mengiktiraf kuasa wanita untuk membuat keputusan untuk diri sendiri dan mencabar model bio-medikal serta kecenderungan golongan peniaga yang menggalakkan penyusuan susu botol.
* Penyusuan susu ibu mengurangkan pergantungan wanita kepada pakar perubatan dan mengesahkan bahawa boleh mengamalkan cara penjagaan dan pemakanan bayi dengan tepat melalui pengetahuan serta maklumat yang tepat.
* Penyusuan susu ibu menggalakkan wanita berdikari kerana ia meningkatkan keyakinan diri mengenai keupayaan untuk memenuhi kehendak bayinya.
* Penyusuan susu ibu membantu menjarakkan kehamilan, mengurangkan risiko anemia dan melindungi daripada penyakit kritikal seperti barah ovari, payudara, osteoporosis dan multiple sclerosis.
* Penyusuan susu ibu memerlukan takrifan baru tentang 'pekerja wanita' iaitu satu takrifan yang lebih realistik dan dapat menyatukan produktiviti syarikat dan reproduktiviti wanita. Kedua-dua aspek ini perlu dihargai dan diseimbangkan.
* Penyusuan susu ibu memerlukan perubahan struktur masyarakat dalam usaha memperbaiki taraf dan keadaan wanita.
* Penyusuan susu ibu mencabar pandangan masyarakat terhadap payudara wanita yang dilihat sebagai objek seks.
* Penyusuan susu ibu memupuk perpaduan dan kerjasama di kalangan wanita, samada di tahap rumahtangga, komuniti, negara atau antarabangsa.

BAGAIMANA HAK WANITA DINAFIKAN?

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kini wanita dinafikan hak dalam membuat keputusan tentang cara pemakanan bayi. Mereka dinafikan daripada mendapat maklumat yang tepat dan terkini mengenai penyusuan serta pemakanan bayi. Apa yang diperolehi oleh mereka hanyalah maklumat-maklumat salah yang disebarkan oleh pengeluar makanan komsersial bayi. Pengluar mengiklankan barangan mereka dengan cara menyampaikan fakta yang salah dan seolah-olah menjadi satu paksaan bagi wanita untuk menerimanya. Terdapat banyak fakta yang bertentangan dengan fakta sebenar. Antaranya ialah mesej dari pengiklan yang membawa maksud kualiti dan kuantiti susu ibu adalah diragui; susu formula adalah lebih unggul dari susu ibu; dan pemberian susu formula secara percuma kepada ibu "untuk digunakan sekiranya susu ibu tidak mencukupi". Kesemua fakta ini adalah tidak tepat dan boleh melemahkan keyakinan dan menjejaskan kebolehan seseorang wanita untuk menyusu bayinya. Oleh itu, setiap wanita perlu memperkukuhkan keupayaan masing-masing. Golongan wanita perlu bantu membantu antara satusama lain dan berusaha keras untuk mengembalikan budaya penyusuan susu ibu, tanpa mengira batasan negara atau kepercayaan.

MENYOKONG DAN MEMBOLEHKAN WANITA MENYUSU

Wanita memerlukan keyakinan diri, sokongan dan kefahaman tentang penyusuan susu ibu. Mereka memerlukan sokongan dalam rumah tangga sendiri, kemudahan penjagaan kesihatan dan persekitaran tempat kerja yang memuaskan. Wanita harus diberi peluang memperolehi maklumat tepat tentang penyusuan susu ibu serta berupaya maklumat ini kepada ahli keluarga, masyarakat setempat, kakitangan kesihatan dan majikan masing-masing. Azam wanita untuk menyusu tidak boleh diteruskan sekiranya mereka hanya disuruh menyusu dan diiktiraf hak itu tanpa menghapuskan halangan yang sedia ada. Pastikan juga wanita disokong dengan sewajarnya dalam usaha untuk menyusu bayi mereka. Sebagai wanita, lebih-lebih lagi jika sedang menyusu bayi, anda digalakkan mengambil langkah-langkah berikut :-

* Menyedari dan menghargai sumbangan yang anda curahkan terhadap kerja-kerja rumahtangga, penyusuan dan penjagaan anak;
* Berasa bangga kerana dapat menyusu bayi sendiri. Jangan malu untuk menonjolkannya kepada anggota masyarakat. Biarkan masyarakat sedar bahawa penyusuan susu ibu boleh digabungkan dalam kehidupan harian dan tidak menganggu tugas rutin anda samada sebagai surirumah atau pekerja syarikat.
* Menubuhkan kumpulan sokongan penyusuan susu ibu untuk berkongsi maklumat mengenai penyusuan bayi. Di samping mendapat maklumat yang tepat, anda juga boleh saling bantu membantu menjaga bayi serta anak-anak kecil dalam kumpulan ini.
* Ketika berada di hospital bersalin, maklumkan kepada hospital atau tulis surat aduan kepada akhbar jika mendapati ada di antara prosedur hospital berkenaan, ternyata dapat menjejaskan atau menganggu penyusuan susu ibu.
* Di rumah, ambil langkah-langkah untuk menghapuskan pengaruh penyusuan susu formula dan pengaruh botol susu. Lihat samada ada imej susu formula dan susu botol ditonjolkan dengan nyata melalui buku kanak-kanak atau barangan permainan.
* Tulis surat kepada televisyen, surat khabar atau majalah dan ucapkan tahniah sekiranya ada maklumat positif mengenai penyusuan susu ibu;
* Tulis surat kepada syarikat pengeluar makanan bayi tentang amalan pemasaran mereka sekiranya mendapati iklan itu mengelirukan wanita yang menyusu susu ibu.

KUMPULAN SOKONGAN WANITA

Sejak turun temurun, amalan dan pengetahuan penyusuan susu ibu hanya disampaikan secara lisan dari seorang ibu kepada anak perempuan atau kepada menantu yang baru bersalin. Namun, kemerosotan amalam penyusuan susu ibu serta pengaruh iklan susu komersial telah menyebabkan sebilangan besar wanita tidak pernah melihat bayi menyusu di dada ibunya. Ada juga yang menganggap bahawa susu ibu hanya untuk surirumah yang tidak bekerja atau golongan miskin yang tidak mampu membeli susu formula. Oleh itu, bilangan wanita yang menyusu bayi dengan susu ibu sepenuhnya semakin merosot dari masa ke semasa. Bagi mengembalikan amalan penyusuan susu ibu, wanita digalakkan menghulurkan sokongan dan bantuan sesama sendiri. Di sini, timbulnya kepentingan untuk menubuhkan kumpulan sokongan "ibu ke-ibu" seperti yang terdapat di beberapa buah komuniti. Antara kumpulan sokongan "ibu ke-ibu" yang terkenal di peringkat antarabangsa ialah La Leche League International dan Nursing Mothers of Australia. Di Malaysia, Persatuan Penyusuan Susu Ibu Malaysia (PPPLM) telah berjaya memainkan peranan yang aktif dalam membantu wanita menyusu. PPPLM telah menubuhkan banyak kumpulan sokongan "ibu-ke-ibu" di beberapa buah daerah di seluruh negara. Kumpulan berkenaan kini menjalinkan satu lingkaran komuniti yang mampu menampung keperluan ibu yang menyusu bayi. Interaksi dan komunikasi yang terdapat dalam kumpulan berkenaan, telah mengukuhkan lagi azam wanita untuk terus menyusu. Bagi kumpulan sokongan wanita, mereka digalakkan bersama-sama melobi kerajaan agar memperbaiki kedudukan wanita bekerja yang menyusu bayi dengan memberikan :

* · Empat bulan cuti bersalin bergaji penuh
* Kemudahan penjagaan anak dan penyusuan susu ibu di tempat kerja, termasuk di sekolah dan di hospital.
* Perlepasan waktu untuk menyusu anak atau memerah susu, sekurang-kurangnya satu jam setiap hari.
* Persekitaran pekerjaan yang menyokong, bersih dan selamat.

POLISI KEBANGSAAN

Di Malaysia, polisi kebangsaan mengenai penyusuan susu ibu adalah seperti berikut :- Semua ibu digalakkan menyusu anak masing-masing dengan susu ibu sahaja selama usia bayi empat hingga enam bulan dan meneruskannya sehingga anak berusia dua tahun. Makanan tambahan hanya perlu dimulakan semasa anak berusia empat hingga enam bulan.

Sumber:
http://www.susuanibu-pk.gov.my/penyusuan-susu-ibu-2.htm

Penyusuan Susu Ibu

Susu ibu adalah makanan semulajadi yang dianugerahkan khusus untuk bayi anda. Ia mengandungi segala khasiat yang diperlukan dengan komposisi yang betul. Ia mudah dicerna dan sentiasa tersedia dalam suhu yang sesuai pada bila-bila masa. Susu ibu mengandungi antibodi yang tidak ternilai yang dapat melindungi bayi anda daripada jangkitan dan alahan,terutama dalam bulan-bulan pertama. Perkembangan dan kecerdasan seseorang bayi juga adalah lebih baik bila mendapat khasiat susu ibu