Monday, January 18, 2010

Mengapa Bayi Harus di beri Susu Ibu

Susu ibu adalah makanan semulajadi yang dianugerahkan khusus untuk bayi anda. Ia mengandungi segala khasiat yang diperlukan dengan komposisi yang betul. Ia mudah dicerna dan sentiasa tersedia dalam suhu yang sesuai pada bila-bila masa. Susu ibu mengandungi antibodi yang tidak ternilai yang dapat melindungi bayi anda daripada jangkitan dan alahan,terutama dalam bulan-bulan pertama. Perkembangan dan kecerdasan seseorang bayi juga adalah lebih baik bila mendapat khasiat susu ibu. Dengan menyusui bayi,ibu juga akan mendapat beberapa keuntungan. Penyusuan susu ibu dapat menjalinkan perhubungan rapat antara ibu dan anak. Hisapan bayi di buah dada mengeluarkan rangsangan hormon yang membantu mengecutkan rahim ibu dengan lebih cepat dan mengurangkan perdarahan selepas bersalin. Ramai ibu kembali kepada berat badan dan bentuk asal dengan mudah bila menyusukan bayi.


Penyusuan yang berpanjangan dapat menghindari barah buah dada dan barah ovari. Tidak kurang pentingnya, penyusuan susu ibu adalah sangat mudah,terutama bila dalam perjalanan,menjimatkan masa dan belanja.

BOLEHKAH SEMUA WANITA MENYUSUI BAYI?

Secara lumrahnya setiap wanita dikurniakan dengan kebolehan untuk menyusui bayinya. Dengan adanya keyakinan dan pengetahuan setiap wanita boleh melakukannya. Saiz buah dada tidak boleh dijadikan ukuran sebanyak mana susu akan dihasilkan. Kekerapan bayi menghisap akan merangsang penghasilan susu ibu yang banyak,mengikut permintaan bayi. Masaalah puting yang leper atau tenggelam juga tidak sepatutnya menjadi halangan. Mereka yang menghadapi masalah sebegini sebaiknya mandapatkan bantuan professional yang boleh membantu mereka.

PERSEDIAAN SEMASA HAMIL

Tempoh kehamilan sebaiknya dipenuhi dengan aktiviti untuk mempelajari ilmu keibubapaan. Dapatkanlah dan bacalah sebanyak mana mungkin mengenai penyusuan susu ibu serta lain-lain aspek penjagaan anak. Jika berpeluang, hadirilah kelas-kelas ibu mengandung bersama suami anda. Buah dada anda biasanya membesar sedikit semasa hamil kerana pembesaran kelenjar-kelenjar susu. Untuk menampung buah dada, baju dalam yang berukuran satu saiz lebih besar biasanya diperlukan. Gunakan air biasa sahaja untuk mencuci buah dada. Elakkan penggunakan sabun kerana ianya boleh mengeringkan kulit buah dada. Pastikan buah dada diperiksa oleh doktor untuk memastikan anda tidak mempunyai masaalah di buah dada. Pada bulan-bulan akhir, pelajarilah cara-cara memerah susu. Pengetahuan ini akan membantu anda selepas kelahiran bayi, sekiranya perlu.

SELEPAS MELAHIRKAN BAYI

Hari-hari pertama selepas kelahiran memanglah amat meletihkan, namun kuatkan semangat anda kerana bayi anda amat memerlukan susu ibunya! Bayi yang baru lahir mempunyai naluri hisapan yang kuat. Susuilah bayi anda secepat mungkin selepas dilahirkan. Pengalaman menyusui bayi yang baru lahir adalah satu pengalaman indah bagi seseorang ibu. Susuilah bayi anda dengan kerap, mengikut permintaannya, bukan mengikut jadual waktu yang tertentu. Sudah tentu, jika bayi anda lebih suka tidur, bangunkahlah dia dan galakkan dia menyusu lebihkurang setiap 3 jam. Hari-hari pertama adalah waktu-waktu yang penting. Buah dada mungkin belum dipenuhi susu, namun susu ini tersangat penting. Susu awal ibu tidaklah banyak tetapi pekat dan berwarna kekuningan. Susu ini dinamakan kolustrum dan kaya dengan protein serta antibodi yang boleh melindungi bayi dari penyakit. Kolustrum ini sudah cukup untuk mengenyangkan bayi anda. Bayi tidak perlu diberi susu botol tambahan ataupun air masak. Bekalan susu ibu bergantung kepada rangsangan. Buah dada biasanya penuh dengan susu selepas hari kedua hingga keenam.Semasa ini, buah dada terasa membengkak dan kurang selesa. Teruskan menyusu bayi anda dengan lebih kerap dan anda akan merasa lebih selesa apabila penyusuan berjalan lancar (biasanya dalam masa 2-3 hari). Buat permulaan , bayi anda mungkin akan menghisap selama beberapa minit sahaja. Biarkan dia menghisap lebih lama jika mahu. Keperluan seseorang bayi adalah berlaian daripada bayi yang lain. Anda haruslah menyusui bayi bergilir-gilir di kedua-dua buah dada. Ini adalah supaya kedua-dua buah dada terangsang dengan cukup agar susu dapat dihasilkan dengan kadar yang mencukupi. Susuilah bayi anda dengan kedudukan yang selesa. Anda bolehlah duduk atau baring mengikut keselesaan anda. Gunakan bantal untuk mengampu tangan atau belakang,jika mahu. Pastikan bayi mengiring rapat menghadap anda agar dia dapat memasukkan sebanyak mungkin kawasan areola (tampuk hitam disekitar puting) ke dalam mulutnya. Posisi penyusuan yang baik akan dapat mengelakkan masaalah seperti sakit puting atau kurang susu. Jika anda menghadapi masaalah,kami syorkan anda mendapat bantuan dari mereka yang mahir.

Sumber:
http://www.susuanibu-pk.gov.my/penyusuan-susu-ibu-2.htm

No comments:

Post a Comment