Monday, January 18, 2010

Penyusuan Susu Ibu Hak Wanita

Penyusuan susu ibu adalah hak seseorang wanita. Wanita dianggap sebagai dinafikan hak mereka sekiranya mereka terpaksa menyusu di dalam keadaan yang tidak memberangsangkan. Antaranya ialah ketiadaan cuti bersalin yang panjang; kekurangan sokongan keluarga, kakitangan kesihatan atau majikan; ketidaksesuaian prosedur hospital; ketidaksesuaian persekitaran tempat kerja; salahtafsiran maklumat yang disalurkan oleh pengiklan makanan bayi; dan pantang larang yang menjadi amalan masyarakat secara turun temurun. Situasi-situasi seperti ini lah yang menjadi halangan dan rintangan kepada wanita untu meneruskan hak menyusu anak masing-masing. Oleh itu, sebarang halangan samada yang telah disebutkan di atas atau halangan lain, perlu dihapuskan sama sekali.
Apabila semua wanita memahami akan hak mereka, mereka akan menjadi penyusuan susu ibu sebagai amalan yang tidak boleh ditolak lagi. Amalan ini lah yang akhirnya akan dapat mengukuhkan kedudukan wanita dalam masyarakat dan menyumbang kepada keseimbangan gender.

Sehingga hari ini - walaupun taraf dan imej wanita semakin tinggi di mata masyarakat - wanita yang bergelar ibu masih terpaksa berhadapan dengan cabaran-cabaran dari segi penysuan susu ibu dan penjagaan anak-anak. Cuti bersalin yang pendek, persekitaran tempat kerja yang tidak sesuai untuk menyusu atau memerah susu atau ketiadaan pusat asuhan kanak-kanak yang berhampiran tempat kerja telah memberi kata dua kepada wanita - samada berhenti kerja atau tidak melahirkan anak/tidak menyusu anak. Keadaaan ini amat negatif dan mencabar keupayaan wanita samada dari segi kerjaya atau reproduktiviti.

Selain itu, penyusuan susu ibu berjaya mencabar konsep yang disebarkan oleh industri pemakanan bayi bahawa cara yang paling ideal untuk membesarkan bayi ialah dengan memberinya susu formula dan penyusuan melalui botol. Selain itu, pengeluar makanan bayi juga mengiklankan makanan-makanan tambahan yang lain agar diberi kepada bayi pada usia terlalu muda. Konsep ini secara langsung dan tidak langsung, berjaya di dalam minda wanita yang bergelar ibu di seluruh dunia. Oleh yang demikiam, semua wanita perlu memulakan penyusuan susu ibu bagi menafikan konsep yang digembar-gemburkan oleh golongan yang ingin mengaut keuntungan dari segi wang ringgit.

Galakan dan sokongan penyusuan susu ibu oleh semua pihak seperti suami, ahli keluarga, kakitangan kesihatan dan majikan adalah satu cara untuk mengiktiraf hak wanita. Penyusuan susu ibu adalah dianggap sebagai isu kewanitaan. Seluruh anggota masyarakat perlu memberi peluang kepada wanita untuk memanfaatkan keistimewaan yang diberikan kepada mereka. Penyusuan susu ibu adalah yang terbaik untuk wanita, bayi, keluarga, negara dan dunia. Ia semulajadi, mempunyai nilai ekonomi kerana ia menjimatkan wang dan dapat membantu dari segi menyelamatkan sistem ekologi. Penyusuan susu ibu juga adalah hak istimewa seorang wanita. Setiap bayi pula, berhak menerima susu ibu.

PENYUSUAN SUSU IBU DAN HAK REPRODUKTIF

Di persidangan antarabangsa dan di dalam beberapa dokumen antarabangsa, penyusuan susu ibu telah diberi pengiktirafan sejagat kerana sumbangannya kepada kehidupan kanak-kanak. Namun demikian, kurang perhatian ditumpukan kepada peranan dan kepentingannya dalam memperkukuhkan kedudukan wanita. Penyusuan susu ibu sebenarkan berupaya memperkukuhkan kedudukan wanita dalam masyarakat. Melaluinya, wanita dapat menjamin aspek kesuburan, kesihatan diri, kesihatan anak-anak dan menjarakkan kehamilan. Pengetahuan ini bukannyan perkara baru. Malah, ia sudah lama wujud di kalangan masyarakat tradisional. Bagaimanapun, akhir-akhir ini ia menjadi kabur akibat pengaruh komersial dan kemodenan. Penyelidikan terkini menunjukkan bahawa wanita yang menyusu dengan susu ibu sepenuhnya selama enam bulan selepas bersalin, tidak akan didatangi haid. Kemungkinan seseorang wanita menyusu (yang mempunyai bayi di bawah umur enam bulan) akan hamil ialah dua peratus sahaja. Kaedah merancang kelahiran anak cara ini disebut Amenorea Laktasi (Lactational Amenorrhoea Method : LAM). Di beberapa tempat di mana kaedah pencegahan hamil secara moden tidak ada, tidak mampu diperolehi atau tidak diterima oleh masyarakat, penyusuan susu ibu dianggap cara berkesan untuk perancangan keluarga. Oleh itu, sekiranya kaedah perancangan keluarga yang lain tidak diamalkan oleh wanita, kemerosotan penyusuan susu ibu akan menyumbang kepada peningkatan kadar kelahiran bayi setiap tahun. Penyusuan susu ibu membenarkan wanita menjarakkan kehamilannya secara berkesan, mengikut kesuburannya dan bebas daripada tekanan-tekanan masyarakat.

PENYUSUAN SUSU IBU MENGUATKAN KEUPAYAAN WANITA.

Dalam konteks ini, menguatkan keupayaan wanita bermaksud :-

* keupayaan untuk memahami dan menentukan kehendak peribadi, sosial, ekonomi dan politik serta mampu bertindak untuk memperbaiki taraf kehidupan masing-masing; ·
* satu bidang atau cabang aktiviti yang dapat membantu wanita menegakkan hak individu yang akhirnya membawa kepada perjuangan menentang atau mencabar apa saha yang menghalang wanita daripada meneruskan hak masing-masing;
* satu proses mengubah prosedur/situasi yang boleh meminggirkan wanita daripada arus perdana atau meletakkan wanita di tahap bawah/tidak penting.

Oleh itu, wanita digalakkan mengenalpasti halangan-halangan yang terpaksa dihadapi dalam usaha untuk menyusu bayi dengan berjaya. Wanita lain perlu tampil bersama-sama untuk memberi sokongan dan membantu menghapuskannya.

BAGAIMANA PENYUSUAN SUSU IBU DAPAT MENGUKUHKAN KEUPAYAAN WANITA

* Penyusuan susu ibu mengiktiraf kuasa wanita untuk membuat keputusan untuk diri sendiri dan mencabar model bio-medikal serta kecenderungan golongan peniaga yang menggalakkan penyusuan susu botol.
* Penyusuan susu ibu mengurangkan pergantungan wanita kepada pakar perubatan dan mengesahkan bahawa boleh mengamalkan cara penjagaan dan pemakanan bayi dengan tepat melalui pengetahuan serta maklumat yang tepat.
* Penyusuan susu ibu menggalakkan wanita berdikari kerana ia meningkatkan keyakinan diri mengenai keupayaan untuk memenuhi kehendak bayinya.
* Penyusuan susu ibu membantu menjarakkan kehamilan, mengurangkan risiko anemia dan melindungi daripada penyakit kritikal seperti barah ovari, payudara, osteoporosis dan multiple sclerosis.
* Penyusuan susu ibu memerlukan takrifan baru tentang 'pekerja wanita' iaitu satu takrifan yang lebih realistik dan dapat menyatukan produktiviti syarikat dan reproduktiviti wanita. Kedua-dua aspek ini perlu dihargai dan diseimbangkan.
* Penyusuan susu ibu memerlukan perubahan struktur masyarakat dalam usaha memperbaiki taraf dan keadaan wanita.
* Penyusuan susu ibu mencabar pandangan masyarakat terhadap payudara wanita yang dilihat sebagai objek seks.
* Penyusuan susu ibu memupuk perpaduan dan kerjasama di kalangan wanita, samada di tahap rumahtangga, komuniti, negara atau antarabangsa.

BAGAIMANA HAK WANITA DINAFIKAN?

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kini wanita dinafikan hak dalam membuat keputusan tentang cara pemakanan bayi. Mereka dinafikan daripada mendapat maklumat yang tepat dan terkini mengenai penyusuan serta pemakanan bayi. Apa yang diperolehi oleh mereka hanyalah maklumat-maklumat salah yang disebarkan oleh pengeluar makanan komsersial bayi. Pengluar mengiklankan barangan mereka dengan cara menyampaikan fakta yang salah dan seolah-olah menjadi satu paksaan bagi wanita untuk menerimanya. Terdapat banyak fakta yang bertentangan dengan fakta sebenar. Antaranya ialah mesej dari pengiklan yang membawa maksud kualiti dan kuantiti susu ibu adalah diragui; susu formula adalah lebih unggul dari susu ibu; dan pemberian susu formula secara percuma kepada ibu "untuk digunakan sekiranya susu ibu tidak mencukupi". Kesemua fakta ini adalah tidak tepat dan boleh melemahkan keyakinan dan menjejaskan kebolehan seseorang wanita untuk menyusu bayinya. Oleh itu, setiap wanita perlu memperkukuhkan keupayaan masing-masing. Golongan wanita perlu bantu membantu antara satusama lain dan berusaha keras untuk mengembalikan budaya penyusuan susu ibu, tanpa mengira batasan negara atau kepercayaan.

MENYOKONG DAN MEMBOLEHKAN WANITA MENYUSU

Wanita memerlukan keyakinan diri, sokongan dan kefahaman tentang penyusuan susu ibu. Mereka memerlukan sokongan dalam rumah tangga sendiri, kemudahan penjagaan kesihatan dan persekitaran tempat kerja yang memuaskan. Wanita harus diberi peluang memperolehi maklumat tepat tentang penyusuan susu ibu serta berupaya maklumat ini kepada ahli keluarga, masyarakat setempat, kakitangan kesihatan dan majikan masing-masing. Azam wanita untuk menyusu tidak boleh diteruskan sekiranya mereka hanya disuruh menyusu dan diiktiraf hak itu tanpa menghapuskan halangan yang sedia ada. Pastikan juga wanita disokong dengan sewajarnya dalam usaha untuk menyusu bayi mereka. Sebagai wanita, lebih-lebih lagi jika sedang menyusu bayi, anda digalakkan mengambil langkah-langkah berikut :-

* Menyedari dan menghargai sumbangan yang anda curahkan terhadap kerja-kerja rumahtangga, penyusuan dan penjagaan anak;
* Berasa bangga kerana dapat menyusu bayi sendiri. Jangan malu untuk menonjolkannya kepada anggota masyarakat. Biarkan masyarakat sedar bahawa penyusuan susu ibu boleh digabungkan dalam kehidupan harian dan tidak menganggu tugas rutin anda samada sebagai surirumah atau pekerja syarikat.
* Menubuhkan kumpulan sokongan penyusuan susu ibu untuk berkongsi maklumat mengenai penyusuan bayi. Di samping mendapat maklumat yang tepat, anda juga boleh saling bantu membantu menjaga bayi serta anak-anak kecil dalam kumpulan ini.
* Ketika berada di hospital bersalin, maklumkan kepada hospital atau tulis surat aduan kepada akhbar jika mendapati ada di antara prosedur hospital berkenaan, ternyata dapat menjejaskan atau menganggu penyusuan susu ibu.
* Di rumah, ambil langkah-langkah untuk menghapuskan pengaruh penyusuan susu formula dan pengaruh botol susu. Lihat samada ada imej susu formula dan susu botol ditonjolkan dengan nyata melalui buku kanak-kanak atau barangan permainan.
* Tulis surat kepada televisyen, surat khabar atau majalah dan ucapkan tahniah sekiranya ada maklumat positif mengenai penyusuan susu ibu;
* Tulis surat kepada syarikat pengeluar makanan bayi tentang amalan pemasaran mereka sekiranya mendapati iklan itu mengelirukan wanita yang menyusu susu ibu.

KUMPULAN SOKONGAN WANITA

Sejak turun temurun, amalan dan pengetahuan penyusuan susu ibu hanya disampaikan secara lisan dari seorang ibu kepada anak perempuan atau kepada menantu yang baru bersalin. Namun, kemerosotan amalam penyusuan susu ibu serta pengaruh iklan susu komersial telah menyebabkan sebilangan besar wanita tidak pernah melihat bayi menyusu di dada ibunya. Ada juga yang menganggap bahawa susu ibu hanya untuk surirumah yang tidak bekerja atau golongan miskin yang tidak mampu membeli susu formula. Oleh itu, bilangan wanita yang menyusu bayi dengan susu ibu sepenuhnya semakin merosot dari masa ke semasa. Bagi mengembalikan amalan penyusuan susu ibu, wanita digalakkan menghulurkan sokongan dan bantuan sesama sendiri. Di sini, timbulnya kepentingan untuk menubuhkan kumpulan sokongan "ibu ke-ibu" seperti yang terdapat di beberapa buah komuniti. Antara kumpulan sokongan "ibu ke-ibu" yang terkenal di peringkat antarabangsa ialah La Leche League International dan Nursing Mothers of Australia. Di Malaysia, Persatuan Penyusuan Susu Ibu Malaysia (PPPLM) telah berjaya memainkan peranan yang aktif dalam membantu wanita menyusu. PPPLM telah menubuhkan banyak kumpulan sokongan "ibu-ke-ibu" di beberapa buah daerah di seluruh negara. Kumpulan berkenaan kini menjalinkan satu lingkaran komuniti yang mampu menampung keperluan ibu yang menyusu bayi. Interaksi dan komunikasi yang terdapat dalam kumpulan berkenaan, telah mengukuhkan lagi azam wanita untuk terus menyusu. Bagi kumpulan sokongan wanita, mereka digalakkan bersama-sama melobi kerajaan agar memperbaiki kedudukan wanita bekerja yang menyusu bayi dengan memberikan :

* · Empat bulan cuti bersalin bergaji penuh
* Kemudahan penjagaan anak dan penyusuan susu ibu di tempat kerja, termasuk di sekolah dan di hospital.
* Perlepasan waktu untuk menyusu anak atau memerah susu, sekurang-kurangnya satu jam setiap hari.
* Persekitaran pekerjaan yang menyokong, bersih dan selamat.

POLISI KEBANGSAAN

Di Malaysia, polisi kebangsaan mengenai penyusuan susu ibu adalah seperti berikut :- Semua ibu digalakkan menyusu anak masing-masing dengan susu ibu sahaja selama usia bayi empat hingga enam bulan dan meneruskannya sehingga anak berusia dua tahun. Makanan tambahan hanya perlu dimulakan semasa anak berusia empat hingga enam bulan.

Sumber:
http://www.susuanibu-pk.gov.my/penyusuan-susu-ibu-2.htm

No comments:

Post a Comment