Thursday, June 23, 2011

Perlukan anak diperkenalkan dengan susu formula apabila sampai umur tertentu?

Posted on Mon 20 Sep 2010 (2760 reads)
Oleh: Nor Kamariah Mohamad Alwi, IBCLC

Saya rasa masih ramai ibu yang masih keliru tentang keperluan pemakanan bayi. Pemikiran dan pandangan masyarakat kita telah terlalu 'terpesong' dengan saranan dan iklan yang berleluasa di TV, surat khabar mahupun radio di mana anak 'sangat perlu minum susu' dan akan kekurangan zat pula jika tidak mengambilnya.

Ada sebab kenapa anak yang disusui dengan susu ibu tidak gemar mengambil susu formula pada mana-mana peringkat:

1. Pertama rasa susu formula sangat tidak menarik, paling hebat yang dapat diformulasikan oleh syarikat pengeluar susu buatan hanyalah perisa vanila, coklat dan strawberi. Tetapi jika minum susu ibu, si anak dapat merasai pelbagai jenis rasa makanan mengikut apa yang ibu makan.
Oleh itu, moralnya: selepas khatam minum susu ibu, berilah makanan seimbang - bukan susu cap ABC atau XYZ. Ini kerana si anak telah terbiasa dengan pelbagai perisa yang terdapat dalam susu ibu, maka langkah seterusnya adalah eksplorrasi terhadap makanan sebenar tanpa mengecewakan citarasa yang telah terbentuk sejak dari bayi lagi.

2. Kedua, apalah ada pada tekstur susu semata-mata. Apabila anak sudah membesar, mereka perlu diberi peluang untuk merasai tekstur makanan yang berbeza-beza seperti keras, liat, lembut, kenyal dan pelbagai lagi. Tetapi jika mereka hanya dihidangkan susu, susu dan susu sahaja, pasti kebosanan akan melanda anak tersebut. Mereka perlu rasa bahawa daging itu liat, sayur perlu dikunyah perlahan-lahan, sup boleh dihirup, nasi boleh dimamah. Tidak seperti susu yang hanya dihisap dari botol sahaja.

3. Ketiga, warna pada susu amat membosankan. Paling hebat warna yang boleh dicampur adukkan dalam susu formula adalah warna putih, merah jambu atau coklat. Tetapi jika anak diberi peluang untuk mengenali makanan sebenar, mereka mengenal warna yang pelbagai lagi, kuning, jingga, hijau, ungu, merah, dan macam-macam lagi.

Ada banyak lagi sebab-sebab lain yang boleh difikirkan. Apa yang penting dan harus difahami oleh setiap ibu, tabii untuk seorang bayi adalah untuk minum susu ibu sahaja pada 6 bulan pertama. Tetapi sebaik umur anak mencukupi 6 bulan, bayi tersebut perlu diberi pendedahan terhadap pemakanan pejal yang seimbang sebagai pelengkap. Keutamaan pada peringkat umur 6 hingga 12 bulan adalah susu ibu kemudian makanan.

Tetapi apabila anak sudah menjangkau usia setahun, keutamaan harus diberikan kepada makanan pejal dan pelengkapnya adalah susu ibu.

Yang lengkap itu adalah pemakanan seimbang, bukan sekadar formula yang seimbang yang dilabelkan pada tin-tin yang berkilat lagi berwarna keemasan di pasaraya tempatan kerana ertikata sebenar lengkap itu adalah lebih meluas lagi mencakupi aspek pembelajaran dan eksplorasi anak sepanjang proses mengenali makanan tersebut.

Manusia ditakdirkan untuk membesar dengan pemakanan yang seimbang, bukan untuk bergantung dengan hanya minum susu sepanjang hayat.

Nasihat saya, apabila melihat iklan dikaca TV atau mendengar iklan di corong radio, nilaikan maksud tersirat lagi tersurat disebalik dakyah yang disebarkan. Jangan cepat terpengaruh!

Perkara ini akan saya kupas lanjut di dalam Majalah Pa&Ma pada bulan Ogos 2010. Sila dapatkan naskah anda masing-masing.

SUMBER : susuibu.com

Wednesday, October 13, 2010

Artikel mengenai kenapa dan bagaimana untuk bersedia menjadi ibu yang berjaya menyusu.

Maaf Nak, Ibu Tidak Cukup Bersedia!!
(copy from susuibu.com)
Mama berkesempatan membelek majalah-majalah tempatan mencari rujukan mengenai penyusuan Susu Ibu. Bulan Ogos lalu, kebanyakan majalah keibu bapaan tempatan telah menampilkan artikel-artikel mengenai Penyusuan Susu Ibu bersempena dengan sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia yang sedang berlangsung.

Dari pembacaan Mama, bermacam-macam pengalaman dialami oleh ibu-ibu pelbagai kaum semasa proses membesarkan anak-anak terutama di dalam usaha menyusukan cahaya mata kesayangan mereka. Kebanyakan dari ibu-ibu ini menceritakan pengalaman sebenar mereka, mengapa mereka gagal menyusukan bayi mereka terutama pada kelahiran yang pertama.

Banyak yang Mama pelajari dari pengalaman ibu-ibu ini. Seorang ibu menceritakan yang apabila beliau bersalin di hospital, tiada siapa yang menolong tunjuk ajar bagaimana untuk memulakan langkah pertama penyusuan. Ada pula yang merungut kerana beliau tidak diberi peluang langsung untuk menemui anak beliau selepas bersalin dan apabila bayi diberikan kepadanya, bayi itu sudah dikenyangkan dengan susu formula. Ada pula yang baru sahaja hendak cuba-cuba belajar memberikan susu, sebaliknya ditakut-takutkan oleh kakitangan hospital tentang kesusahan yang bakal dialami jika menyusu badan. Kalau diikutkan pelbagai lagi pengalaman buruk yang dialami oleh ibu-ibu muda ini. Kasihan sungguh mama membaca kisah mereka.

Kenapa perkara seperti ini terjadi? Memang mama akui, bukan mudah untuk menyandang jawatan ibu (jawatan bapa juga tidak ketinggalan). Pun begitu, kita tidak boleh menunding jari 100% kepada orang lain atau persekitaran kita. Pada firasat mama, kebanyakan kegagalan ibu untuk menyusu anak mereka terjadi, kerana kurangnya kefahaman mengenai kaedah penyusuan, tidak bersedia menyusukan anak mereka dan tidak cukup cekal (mudah goyah dengan pandangan yang tidak memberangsangkan dari orang lain). Bagi mama, cukuplah pengalaman buruk ibu-ibu lain itu dijadikan teladan, jangan sampai diri kita atau adik kita atau anak kita kelak juga mengalami keadaan yang sama. Bagaimana kita hendak mengelakkan perkara ini dari terjadi?Bukankah ibu-ibu telah diberi masa 9 bulan semasa mengandung untuk membuat persiapan dan persediaan?

Memang sekali imbas perkara ini dipandang remeh dan ringan oleh sesetengah ibu bapa. Tidak kurang juga ada yang berkata, 'anak saya diberi susu formula, tapi besar jugak, buat apa nak susah-susah menyusu badan'. Tetapi cuba anda bertanya kepada ibu bapa yang terpaksa mengharungi pelbagai kesukaran yang dihadapi oleh anak mereka akibat pemberian susu formula (Mungkin masih ramai yang belum tahu hakikat ini). Cuba juga bertanya kepada para doktor yang merawat kanak-kanak di klinik-klinik, apakah statistik bayi kecil yang dirawat kesan pelbagai gejala yang secara tidak langsung akibat dari pemberian susu formula. Maaf, mama bukannya marah atau tidak juga berniat untuk menegur sesiapa, tetapi mama cuma rasa terkilan kerana walaupun ramai ibu-ibu yang tahu akan kebaikan susu ibu tetapi masih terlalu ramai lagi ibu-ibu yang buat endah tidak endah akan tanggungjawab mereka memberikan makanan yang terbaik untuk cahaya mata mereka. Hasilnya, ramai ibu-ibu (dengan disokong oleh kaum bapa yang mungkin kurang perihatin) mengambil jalan mudah memberikan susu 'alternatif' kepada bayi mereka apabila usaha(jika ada usaha) pada peringkat awal penyusuan tidak berjaya.

Mama sendiri dulu juga tidak pandai pada mulanya - walau sehingga kinipun masih tidak layak digelar pakar menyusu, tetapi Alhamdulillah diberi petunjuk untuk mencari ilmu dan membuat persediaan bagaimana hendak menyusukan anak. Mama menghadiri kelas antenatal bersama suami tersayang beberapa bulan sebelum bersalin. Di situ kami mempelajari selok belok bagaimana menghadapi hari hari awal bersama bayi kami nanti. Di kelas itu jugalah kami belajar bagaimana cara menyusukan anak. Kaum bapa diberi pendedahan bagaimana mereka boleh memainkan peranan membantu ibu dan memudahkan proses penyusuan itu. Kami juga telah didedahkan tentang apakah masalah biasa yang bakal dihadapi oleh ibu menyusu termasuk pandangan 'negatif' dari masyarakat serta keluarga yang kurang memahaminya dan bagaimanakah untuk menghadapinya. Paling tidak, persediaan itu walaupun masih belum mencukupi (selagi belum ada praktikal), telah dapat menyediakan emosi dan mental mama agar benar-benar bersedia dan beriltizam untuk menyusukan bayi nanti.

Diharap bakal ibubapa dimasa akan datang tidak menganggap kelas antenatal ini suatu yang remeh dan tidak berguna. Jangan kita anggap hanya peperiksaan disekolah sahaja yang memerlukan persediaan. Realiti hidup kita memang tabiinya senantiasa perlu dibuat perancangan dan persediaan agar kelak tidak kucar kacir jadinya. Jangan sampai kita sanggup memberi alasan mudah kepada anak kita kelak 'Maaf nak, ibu tidak cukup bersedia!'.

Jangan Lupa Jadi Isteri Setelah Bergelar Ibu

Jangan Lupa Jadi Isteri Setelah Bergelar Ibu

Menurut Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah kebanyakkan lelaki yang berumahtangga mahukan seorang isteri. Suami tidak peduli samada isterinya melahirkan seorang anak atau 10 orang anak, yang penting baginya dia masih memerlukan isteri. Tetapi,sambungnya, ramai isteri selepas mempunyai tiga atau empat orang anak menjadi ibu dan kurang menjadi isteri.

Peringkat awal mungkin suami boleh bertahan, menyenduk nasi sendiri,ambil nasi sendiri ambil air sendiri sebab isteri sibuk melayan anak-anak tetapi lama-kelamaan suami menjadi bosan.

Penat di pejabat dan di rumah pula tidak mendapat layanan isteri. Beliau menekankan, ramai suami tidak tahan apabila isterinya menjadi ibu sehingga suami merasa terpinggir. Di luar banyak terdapat gejala-gejala yang mengambil alih tugas isterinya di rumah untuk melayan makan-minumnya.

Ada wanita lain dengan ramah akan bertanya, “Encik nak minum, saya siapkan kopi, encik nak makan nanti saya hidangkan nasi….”. Ini akan membuatkan suami merasa wanita itu melayannya dengan baik sedangkan di rumah dia hanya mendengar kata-kata, “You buat sendirilah, I sibuk nak layan budak-budak ni. I penatlah…”

Tu baru bab lahiriah yang dipinta.. kalau alasan tu juga dibagi waktu berkehendakan hubungan badan.. hmmmm tak tau la cek nak kata.. takut nanti ada isteri2 yang makan hati akhirnyer bila suami menyatakan keinginan utk beristeri satu lagi…:).. Senantiasalah beringat bahawa seorang suami yang menyimpan perasaan marah atau tak puashati terhadap tolakan kita… sepanjang malam kita akan dilaknati oleh malaikat… sehinggalah suami kita memaafkannya. . Kerna itu.. seboleh2nya. .jangan biarkan si suami tertidur sendirian kerna menantikan kehadiran kita menemaninya .. kalau boleh, hentikan dulu kerja2 yang dilakukan.. temani suami buat seketika utk memenuhi keperluan dirinya.. tak semua semua inginkan seks semata2.. ada yang hanya mau lena dipelukan anda atau sebaliknyer. ..

Suami yang longgar pengetahuan agamanya dan tidak tahu tanggungjawab akan mudah berlaku curang walaupun sepatutnya dia membantu dan faham keadaan isteri. Pesan beliau, “Isteri jangan lupa menjadi isteri”. Sambut suami balik dari pejabat, ambil begnya, layan sekejap, tuangkan air dan berikan sentuhan sayang walaupun hanya dua atau tiga minit walau sibuk bagaimana sekalipun. Jangan disebabkan dua atau tiga minit ini, akhirnya suami lebih senang dilayan oleh wanita lain. Jangan sesekali ambil remeh perkara begini..biasernyer bagi lelaki yang sudah berumahtangga, satu cara utk dier lepaskan bebanan kepala setelah seharian bekerja.. adalah dengan menerima layanan baik dari isteri..sekalipun hanya dengan senyuman isteri dimuka pintu… tatkala itu..dihatinya pasti rasa sungguh gembira kerana ada yang menanti dan meringankan bebanan emosi nya..

Ramai wanita, menurut beliau, selepas mendapat dua atau tiga orang anak akan mulai terlalu yakin diri dan bongkak. Mereka merasakan sudah lama berkawin dan tidak perlu menjaga tubuh badan atau bahasa tuturan. Mereka lupa kebanyakkan lelaki mudah tertarik pada yang cantik dan lemah-lembut. Mereka juga selalunya atau kebanyakkannyer berasa suami harus faham keadaan mereka yang senantiasa diperlukan oleh anak2..ini silap.. sekalipun berapa anak yang diperolehi.. .suami tetap merupakan “Anak Sulung”… walau sayang banyak mana pada anak pun.. suami harus senantiasa didahulukan. …;)

Lelaki berumur atau tua tetapi kalau melihat wanita muda mereka boleh terlupa yang diri sudah bergelar suami. Walaupun sudah tua tetapi jiwa muda keluar kembali kecuali di tabir oleh keimanan yang tebal. Yang ada “pendinding” akan sengaja membahasakan diri tua dengan perempuan dibahasakan dirinya ‘Pak cik’ adalah dengan sengaja di lakukan demikian untuk memadam segala keinginan.

Seperti yang sering beliau nyatakan, orang lelaki mudah perasan bilamana keadaan dirinya tak tenteram…dan dikala ini apabila ada wanita muda menunjukkan minat, berbuat baik, lelaki yang berumur akan mudah perasan. Malah tambahnya lagi, ada wanita lain yang menghargai dirinya lebih dari isteri yang dirumah yang sentiasa mengomel dan memperkecilkan diri suami.

Source: L.o.v.E

7 Kaedah Mendidik Anak Cemerlang

7 Kaedah Mendidik Anak Cemerlang

Dalam mendidik anak-anak sebenarnya tiada formula khusus yang boleh diikuti atau diterapkan kerana setiap anak adalah makhluk yang luar biasa dan unik dan berbeza-beza antara satu sama lain.

Menurut Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah dalam bukunya, 21 Kaedah Mendidik Anak Cemerlang, ilmu mendidik anak adalah satu ilmu kemahiran yang perlu dimiliki oleh ibu bapa sebagaimana perlunya mereka memiliki ilmu kemahiran rumah tangga, kewangan, teknikal dan agama.

Rasulullah S.A.W. telah menggariskan empat tahap mendidik anak iaitu:

Tahap Pertama: Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (enam tahun ) hendakkah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana haiwan menjaga anak.

Tahap Kedua: Anak berumur tujuh tahun sehingga baligh(14 tahun)hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan beri tanggungjawab.

Tahap Ketiga: Anak berumur 15 tahun hingga dewasa (21 tahun ) hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi yang tidak bertentangan dengan syariat.

Tahap Keempat: Anak berumur lebih 21 tahun. Hendaklah para ibu bapa memberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat.Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakkan mereka terkawal.

1. Kaedah Pesanan dan Arahan.

Pesanan dan arahan merupakan salah satu daripada kaedah yang disarankan oleh Rasulullah S. A. W. Anak-anak hendaklah dididik dengan dipesankan sesuatu terlebih dahulu. Lihat bagaimana reaksi mereka, apakah mereka boleh melakukannya hanya selepas sekali pesanan. Jika tidak berkesan maka hendaklah dipesan berulang kali tanpa merasa jemu dan bosan. Menurut pandangan pakar pendidikan kanak-kanak, anak yang pintar perlu diberi nasihat dan pesanan 200 kali tanpa bosan supaya mereka benar-benar memahami pesanan itu dan dapat bertindak dengan baik. Antara bentuk pesanan dan arahan kepada anak-anak :

• Mengenai solat di awal waktu
• Adab dengan orang tua-tua
• Adab dengan guru
• Adab dengan kawan-kawan
• Tugas harian di rumah
• Mengemas bilik sendiri termasuk meja belajar.
• Tatacara makan mengikut sunnah nabi
• Cara belajar yang berkesan
• Ingat sentiasa menutup aurat apabila keluar dari rumah
• Keselamatan jalan raya
• Tanggungjawab melindungi adik-adik.

2. Kaedah Bercerita

Kaedah bercerita menguatkan hubungan anak-anak dengan ibu bapa terutamanya kisah-kisah teladan daripada Al-Quran, kisah nabi dan sebagainya. Tujuan bercerita ialah untuk mendidik anak-anak secara tidak langsung melalui pemahamam minda bawah sedar mereka, menyampaikan maklumat dan menyerapkan pengajaran yang boleh dicungkil daripada cerita tersebut, mengerat dan merapatkan hubungan anak dan ibu bapa, anak-anak boleh menggambarkan di minda mereka dengan lebih jelas dan ini lebih berkesan bergantung kepada kemahiran pencerita.

3. Kaedah Soal jawab

Bersoala jawab denagn anak akan menggerakkan minda mereka. Ibu bapa yang cemerlang hendaklah sentiasa bersoal jawab dan mengambil tahu mengenai diri anak dan perkembangan aktiviti dan pembelajaran mereka. Kaedah ini hendaklah dilakukan secara berterusan dan tanpa mengira masa, keadaan dan tempat seperti ketika dalam perjalanan, di rumah, waktu makan dan sebagainya.

Ibu bapa hendaklah berusaha menjawab semua persoalan. Seandainya ibu bapa tidak tahu atau tidak pasti jawapan kepada soalan anak, jangan teragak-agak atau enggan untuk mengaku tidak tahu. Ibu bapa hendaklah memberi penjelasan atau jawapan kepada persoalan yang ditanya oleh anak daripada orang yang mahir dalam bidangnya.

Anak-anak kecil lazimnya suka bertanya soalan yang bertubi-tubi. Ramai ibu bapa yang tidak mengambil peduli keletah anak-anak ini. Tabiat ini tidak sewajarnya menjadi amalan ibu bapa kerana tabiat anak-anak yang bertanya itu sudah menggambarkan pembangunan minda anak-anka yang cemerlang. Jika ditangani dengan baik anak itu mempunyai potensi yang tinggi untuk menjadi anak cemerlang.

4. Kaedah Merujuk Pengalaman Lalu

Pengalaman yang positif boleh dijadikan teladan, pengalaman yang negatif boleh dijadikan sempadan. Pengalaman ini elok dibuktikan dengan gambar, dokumen atau barangan peninggalan yang terlibat. Ini kerana pengalamna ini amat mudah untuk menjelaskan mesej yang ingin kita sampaikan dan mudah pula dijadikan iktibaroleh anak-anak. Pengalaman anak-anak itu juga penting. Kaitkan apa perlunay mereka berwaspada denagn peristiwa pahit yang telah mereka alami atau peristiwa manis dan kejayaan yang pernah mereka kecapi.

5. Kaedah Nasihat dan Teguran

Berilah nasihat dan teguran kepada anak-anak dalam hal akidah, ibadah, akhlak, tanggungjawab, kesihatan, suci hati dan erti kesusahan. Kaedah ini sangat penting dan ia berbeza dengan kaedah pesanan dan arahan. Ini kerana nasihat dan teguran tidak boleh dibuat setiap hari atau setiap masa kerana anak-anak akan mudah merasa jemu dan bosan.

Ketika mendengar nasihat dan teguran daripada ibu bapa, anak hendaklah dilatih supaya memandang wajah kedua-duanya atau tunduk.

6. Kaedah Bermain dan Bergurau

Cuba tanya diri anda, berapa kerapkah anda bermain-main dan bergurau-gurau dengan anak-anak anda? Terdapat pelbagai kaedah untuk kita bergurau dengan anak-anak ketika sedang bermain, beriadah mahupun bersukan. Matlamat bergurau dengan anak-anak ialah untuk menggembirakan hati mereka.

Mengikut kajian psikologi, apabila anak berasa gembira dan disayangi, mereka akan menjadi anak yang berdisiplin dan berakhlak yang baik. Tetapi jangan pula bergurau melampau batas seperti bermain dan bergurau berlarutan sehingga meninggalkan ibadah wajib dan tugas yang lebih penting.

Bapa juga tidak manis bergurau atau bermain dengan anak perempuan yang telah meningkat dewasa. Begitu juga ibu tidak manis bermain dengan anak lelaki yang telah meningkat dewasa. Perlakuan tidak manis ini jika tidak diikat oleh iman yang kuat, sering berlarutan sehingga boleh menyebabkan berlakunya sumbang mahram.

7. Kaedah Latihan yang Berterusan

Anak yang cemerlang perlu dilatih secara praktikal dan berterusan. Kaedah ini juga disarankan oleh Rasullullah S.A.W. Anak kita memang cemerlang tetapi perlu dilatih secara praktikal dan berterusan. Kaedah latihan boleh dibahagikan kepada beberapa ciri diantaranya :-

a) Jantina

Ibu bapa hendaklah memberi tugas kepada anak-anak sesuai dengan jantinanya seperti tuga yang berat dan kasar diagihkan kepada anak lelaki manakala anak perempuan kepada kerja-kerja dalaman yang lebih ringan dan sesuai dengan watak keperempuanan mereka. Bagaimanapun tidak salah jika anak lelaki diajar dan diasuh melakukan pekerjaan yang sering dilakukan oleh orang perempuan seperti membasuh pakaian sendiri, menyidai pakaian, melipat pakaian, memasak, membasuh pinggan dan sebagainya.

b) Usia

Pengagihan tugas juga perlu diagihkan mengikut usia. Anak yang berusia di bawah enam tahun belum boleh diberi tanggungjawab yang serius. Tahap tanggungjawab boleh ditingkatkan apabila usia mereka meningkat dan mengikut kesesuaian waktu.

Jangan lupa memberi pujian dan penghargaan kepada anak setelah mereka berjaya melakukan sesuatu pekerjaan itu. Namun jangan berlebihan kerana bimbang anak itu akan bersifat takbur.

Sumber majalah Wanita November 2005 oleh Noraishah Ismail

Jalinan Al-Quran dalam Jiwa Anak

Jalinan Al-Quran dalam Jiwa Anak

Bayi-bayi dilahirkan dengan fitrah, hatinya bersih bergema kesucian, jiwanya putih tak tercelup najis dosa tapi kebanyakan ibu bapa menyajikan mereka dengan hidangan dunia yang meosakkan. Saban hari, begitu ramai yang mengeluh atas masalah hati. Membesar menagih kasih seorang ajnabi. Diperalatkan oleh riak dan hasad dengki. Terperangkap dalam permainan duniawi. Di mana salahnya pendidikan anak-anak Islam kini?

Imam Suyuthi berkata bahawa mengajarkan al-Quran kepada anak-anak merupakan salah satu di antara asas-asas Islam, sehingga mereka tumbuh di atas fitrah. Begitu juga cahaya hikmah akan terlebih dahulu masuk ke dalam hati mereka sebelum dikuasai oleh hawa nafsu dan dinodai oleh kemaksiatan dan kesesatan.

Ibnu Khaldun mencoretkan dalam Muqaddimahnya, apabila Harun Ar-Rasyid memberikan anaknya Al-Amin kepada pendidiknya, dia berkata: “Wahai Ahmar (kemerah-merahan), sesungguhnya Amir Al-Mukminin telah memberikan kamu buah hatinya dan kegembiraan jiwanya. Jadikanlah diri kamu bermurah terhadapnya, wajiblah ke atasmu mentaatinya, sesuaikanlah diri kamu dengan taraf kedudukannya yang telah diberikan oleh Amir Al-Mukminin. Ajarilah dia Al-Quran. Berikanlah dia pengetahuan sejarah. Perdengarkanlah dia syair-syair, ajarkanlah dia ilmu sunnah. Perjelaskanlah untuknya tempat kata-kata dan permulaan-permulaanya. Laranglah dia daripada ketawa melainkan pada masanya. Janganlah membiarkan masa berlalu tanpa mengambil kesempatan bagi memberikan dia faedah. Janganlah dia selalu bersedih menyebabkan fikirannya mati, dan janganlah selalu memaafkan dia menyebabkan dia selesa dengan masa lapang dan menjadi biasa dengannya. Betulkan dia dengan cara mesra, baik dan lembut sedaya upayamu. Jika tidak berkesan juga, gunakanlah cara tegas dan kasar.”

Hisyam Ibn Abdul Malik berpesan kepada pendidik anaknya, Sulaiman Al-Kalbi, “Sesungguhnya inilah anak saya, dan dia merupakan kulit di antara kedua-dua mata saya. Saya telah menjadikanmu guru bagi mendidiknya; berpegang teguhlah dengan taqwa kepada Allah, laksanakanlah amanah. Pertama sekali saya berpesan kepadamu, berpeganglah dengan kitab Allah. Perdengarkanlah kepadanya syair-syair yang paling elok. Bawalah dia berjalan-jalan di pelusuk desa Arab. Ambillah syair-syair mereka yang baik. Tunjukkanlah dia sebahagian perkara yang halal dan sebahagian perkara yang haram serta khutbah dan kisah peperangan.”

Bayi diibaratkan seperti kain yang putih bersih. Ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkan anaknya itu menjadi Yahudi, Majusi atau Nasrani. Maka corakkanlah mereka dengan sebaik-baiknya.

63 Petua Keluarga Bahagia

63 Petua Keluarga Bahagia

Oleh Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah

keluarga bahagiaTanpa sebuah persefahaman, tidak mungkin istana yang dibina menemui kebahagiaan sebagaimana diharapkan.

Kesolehan keluarga menjadi penentu bagi tegaknya sesuatu bangsa yang aman, makmur dan sejahtera. Sebahagian dari kesempurnaan kebahagiaan di dunia adalah memiliki keluarga yang bahagia.

Ciri orang yang mencintai keluarganya adalah dia selalu bersabar dalam mendidik akhlak dan keimanan keluarganya.

Biar berjuta halangan merentangi namun jika tersurat kasih dan sayang dua insan berkenaan, pasti ia menemukan ketulusan yang abadi.

Dalam melayari rumah tangga berdua, pasti banyak onak terpaksa dilalui. Hanya mereka yang kuat, tabah dan mampu mendepani segalanya bakal menjulang kebahagiaan.

Perunding motivasi dan keluarga, Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah memberi 63 petua yang boleh dijadikan amalan pasangan suami isteri yang melayari rumah tangga.

1. Doa yang berterusan.

2. Patuh ajaran agama.

3. Murah dengan pujian.

4. Murah dengan khidmat.

5. Murah dengan belaian kasih sayang.

6. Murah dengan sentuhan.

7. Mencari kebaikan pasangan.

8. Cari masa berkomunikasi, berbual atau bergurau senda.

9. Cari kebaikan dan pembaikan diri daripada setiap pertengkaran.

10. Menghormati had, sempadan atau hal peribadi pasangan.

11. Menilai diri daripada perspektif pasangan.

12. Berfikiran terbuka – boleh tegur menegur.

13. Berani mengambil risiko emosi – tegur/perubahan/ berpisah sementara.

14. Menilai dan memberi keutamaan dalam kehidupan.

15. Tolak-ansur.

16. Menghormati dan mengambil kira ‘gerak batin’ (intuition) perempuan.

17. Tidak mengejar kebendaan semata-mata.

18. Sedar bahawa perselisihan kadangkala tidak boleh dielakkan.

19. Mengubah diri untuk merangsang perubahan pada pasangan.

20. Sanggup berkorban buat pasangan.

21. Menghormati pasangan.

22. Berasa amat beruntung (dan nyatakan) mendapat pasangan yang ada.

23. Perhubungan seksual yang sihat dan diredai.

24. Menghormati perbezaan dalam diri pasangan.

25. Sentiasa bermaafan sebelum tidur.

26. Sentiasa bersangka baik terhadap masa depan.

27. Meletakkan hak kepada pasangan.

28. Tidak menjadi hamba kepada pasangan.

29. Berubah secara kecil-kecilan untuk meningkatkan kebahagiaan.

30. Mengawal marah. Buat perjanjian.

31. Mencari penyelesaian dalam situasi ‘menang-menang’.

32. Muhasabah hubungan untuk mencari punca masalah.

33. Menghormati sifat semula jadi pasangan.

34. Memahami peranan ‘pasangan’.

35. Hubungan perasaan sesama pasangan.

36. Jangan simpan ketidakpuasan, sedih, marah atau benci dalam hati.

37. Bentuk kod kasih sayang dan anda berdua saja yang tahu.

38. Sengaja merancang untuk membaiki hubungan suami isteri.

39. Tujuh kali puji dan satu teguran.

40. Sebut ‘I love you’ sepanjang masa.

41. Banyakkan bergurau dan bermesra.

42. Sentiasa berterus terang.

43. Beri masa untuk perubahan berlaku – sabar.

44. Elakkan berdebat untuk mencari kebenaran.

45. Elakkan salah pasangan.

46. Cari titik pertemuan.

47. Selesaikan masalah hari ini pada hari ini juga.

48. Lebih banyak memberi daripada menerima.

49. Minta nasihat, pandangan atau maklum balas daripada pasangan.

50. Sentiasa bersemangat – bangun tidur, pergi kerja, balik kerja dan sebagainya.

51. Seimbangkan hubungan dari segi:

* Mental, pendidikan dan ilmu
* Emosi
* Fizikal dan ekonomi
* Sosial
* Spiritual

52. Jangan berjauhan terlalu lama (kecuali terpaksa).

53. Tidak terlalu mengongkong.

54. Tidak bertindak bersendirian.

55. Memberi peluang untuk berbeza:

* Pendapat atau pandangan
* Hobi
* Kegemaran
* Makanan
* Cita rasa
* Warna pilihan dan pelbagai

56. Humor atau lawak dari semasa ke semasa.

57. Minta bantuan untuk memecahkan kitaran negatif.

58. Berwawasan dan pandang ke depan (tidak terjebak dengan masalah semasa).

59. Tidak meminta yang bukan-bukan.

60. Bentuk undang-undang atau peraturan dalam rumah tangga.

61. Mencari kelainan dan perubahan positif.

62. Elakkan mendera pasangan dengan apa cara sekalipun.

63. Reda, syukur dan tawakal kepada Allah s.w.t.

Friday, September 24, 2010

SUSU OH SUSU!

Artikel dr susuibu.com
Nukilan : Nor Kamariah Mohamad Alwi, IBCLC
Tarikh: 21 Februari, 2010

Keperluan pengambilan susu di dalam diet ibu mengandung mahupun ibu yang sedang menyusu sejak akhir-akhir ini telah dipropagandakan secara berleluasa oleh syarikat-syarikat pengeluar susu formula. Hasilnya, ibu-ibu semakin kurang keyakinan terhadap budaya pemakanan seimbang dan beranggapan dengan mengambil susu yang diformulakan dengan pelbagai khasiat yang dilabelkan pada tin masing-masing adalah yang terbaik hingga berasa bersalah atau kurang lengkap jika tidak berbuat demikian.

Mengikut sejarah peradaban manusia dan segala hidupan mamalia yang lainnya, keperluan setiap spesis terhadap susu ibu masing-masing memang wujud sejak azali lagi. Namun, kebergantungannya terhadap susu tidak pula berpanjangan sehingga dewasa. Cuba fikirkan, adakah orang utan, lembu, kambing, atau unta (serta sekalian spesis mamalia lain selain manusia) minum susu semasa mengandung untuk memastikan anak yang dikandung sihat atau semasa menyusukan anak masing-masing untuk memastikan anak yang disusukan mendapat cukup susu?

Hakikatnya, (saya petik dari Wikipedia),
"Humans are an exception in the natural world for consuming milk past infancy,despite the fact that more than 75% of adult humans show some degree (some as little as 5%) of lactose intolerance, a characteristic that is more prevalent among individuals of African or Asian descent.[4] "
Reference:
[4] Champe, Pamela (2008). "Introduction to Carbohydrates". Lippincott's Illustrated Reviews: Biochemistry, 4th ed.. Baltimore: Lippincott Williams & Wilkins. pp. 88. ISBN 0-7817-6960-0.

Walaupun susu adalah salah satu sumber makanan yang kaya dengan pelbagai khasiat, namun ianya BUKANlah satu-satunya sumber makanan yang WAJIB diambil, tetapi jika boleh mengambilnya, atau tiada alahan terhadapnya, bolehlah diambil secara berpatutan, tidak berlebihan dan sebagai sebahagian daripada diet setiap hari. Apa sahaja yang diambil secara berlebihan boleh memudaratkan. Di dalam kehidupan, kita memerlukan keseimbangan.

Pertimbangkan juga isu etika dalam penghasilan susu secara industri ini telah menggalakkan perlakuan kekejaman ke atas makhluk lemah seperti lembu (dan mungkin juga haiwan mamalia lain): contohnya bagaimana anak lembu dipisahkan dari ibunya sebaik kelahiran, demi manusia boleh mengumpul kolustrum dari lembu (yang belum tentu bersesuaian untuk manusia), lalu si anak lembu pula dibiarkan menangis (kerana tidak dapat menyusu) ditepi ibunya agar sang ibu mendengar tangisan dan mendapat kesan "ejection reflex" dan lebih banyak susu dapat dikumpulkan. Tidak cukup dengan itu, anak lembu jantan dibunuh (bukan untuk dimakan) secara berleluasa kerana tidak berupaya menghasilkan susu dan tidak boleh melahirkan anak lembu yang baru. Bukankah manusia seringkali angkuh dan suka melakukan kekejaman?

Gambar hiasan dari http://milkmyths.org.uk/intro.php - Ibu lembu menanti bilakah saat perpisahan dengan anaknya, dan kelak sang ibu akan menjadi 'mesin pengeluar susu'

Saya sarankan, baca sejarah mengenai susu di dalam Wikipedia untuk mendapat gambaran sewajarnya. Juga baca tentang kekejaman manusia terhadap spesis lembu di MilkMyths.

Saya juga ingin menyeru ibu-ibu agar tidak terpengaruh dengan hebahan iklan yang berleluasa di luar sana kononnya perkembangan otak anak-anak akan jadi kurang baik jika ibu tidak mengambil susu berjenama XYZ semasa mengandung atau susu yang dihasilkan kurang berkhasiat jika tidak mengambil susu ABC dalam tempoh penyusuan. Baca tentang fakta tentang pemakanan seimbang dan politik serta latar belakang syarikat pengeluar susu yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata!