Jalinan Al-Quran dalam Jiwa Anak
Bayi-bayi dilahirkan dengan fitrah, hatinya bersih bergema kesucian, jiwanya putih tak tercelup najis dosa tapi kebanyakan ibu bapa menyajikan mereka dengan hidangan dunia yang meosakkan. Saban hari, begitu ramai yang mengeluh atas masalah hati. Membesar menagih kasih seorang ajnabi. Diperalatkan oleh riak dan hasad dengki. Terperangkap dalam permainan duniawi. Di mana salahnya pendidikan anak-anak Islam kini?
Imam Suyuthi berkata bahawa mengajarkan al-Quran kepada anak-anak merupakan salah satu di antara asas-asas Islam, sehingga mereka tumbuh di atas fitrah. Begitu juga cahaya hikmah akan terlebih dahulu masuk ke dalam hati mereka sebelum dikuasai oleh hawa nafsu dan dinodai oleh kemaksiatan dan kesesatan.
Ibnu Khaldun mencoretkan dalam Muqaddimahnya, apabila Harun Ar-Rasyid memberikan anaknya Al-Amin kepada pendidiknya, dia berkata: “Wahai Ahmar (kemerah-merahan), sesungguhnya Amir Al-Mukminin telah memberikan kamu buah hatinya dan kegembiraan jiwanya. Jadikanlah diri kamu bermurah terhadapnya, wajiblah ke atasmu mentaatinya, sesuaikanlah diri kamu dengan taraf kedudukannya yang telah diberikan oleh Amir Al-Mukminin. Ajarilah dia Al-Quran. Berikanlah dia pengetahuan sejarah. Perdengarkanlah dia syair-syair, ajarkanlah dia ilmu sunnah. Perjelaskanlah untuknya tempat kata-kata dan permulaan-permulaanya. Laranglah dia daripada ketawa melainkan pada masanya. Janganlah membiarkan masa berlalu tanpa mengambil kesempatan bagi memberikan dia faedah. Janganlah dia selalu bersedih menyebabkan fikirannya mati, dan janganlah selalu memaafkan dia menyebabkan dia selesa dengan masa lapang dan menjadi biasa dengannya. Betulkan dia dengan cara mesra, baik dan lembut sedaya upayamu. Jika tidak berkesan juga, gunakanlah cara tegas dan kasar.”
Hisyam Ibn Abdul Malik berpesan kepada pendidik anaknya, Sulaiman Al-Kalbi, “Sesungguhnya inilah anak saya, dan dia merupakan kulit di antara kedua-dua mata saya. Saya telah menjadikanmu guru bagi mendidiknya; berpegang teguhlah dengan taqwa kepada Allah, laksanakanlah amanah. Pertama sekali saya berpesan kepadamu, berpeganglah dengan kitab Allah. Perdengarkanlah kepadanya syair-syair yang paling elok. Bawalah dia berjalan-jalan di pelusuk desa Arab. Ambillah syair-syair mereka yang baik. Tunjukkanlah dia sebahagian perkara yang halal dan sebahagian perkara yang haram serta khutbah dan kisah peperangan.”
Bayi diibaratkan seperti kain yang putih bersih. Ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkan anaknya itu menjadi Yahudi, Majusi atau Nasrani. Maka corakkanlah mereka dengan sebaik-baiknya.
SWEATER BJ46
13 years ago
No comments:
Post a Comment