Friday, September 24, 2010

PERLUKAH ANAK DI PERKENALKAN DGN SUSU FORMULA APABILA SAMPAI UMUR TERTENTU?

Artikel saya ambil dr susuibu.com
Oleh: Nor Kamariah Mohamad Alwi.

Saya rasa masih ramai ibu yang masih keliru tentang keperluan pemakanan bayi. Pemikiran dan pandangan masyarakat kita telah terlalu 'terpesong' dengan saranan dan iklan yang berleluasa di TV, surat khabar mahupun radio di mana anak 'sangat perlu minum susu' dan akan kekurangan zat pula jika tidak mengambilnya.

Ada sebab kenapa anak yang disusui dengan susu ibu tidak gemar mengambil susu formula pada mana-mana peringkat:

1. Pertama rasa susu formula sangat tidak menarik, paling hebat yang dapat diformulasikan oleh syarikat pengeluar susu buatan hanyalah perisa vanila, coklat dan strawberi. Tetapi jika minum susu ibu, si anak dapat merasai pelbagai jenis rasa makanan mengikut apa yang ibu makan.
Oleh itu, moralnya: selepas khatam minum susu ibu, berilah makanan seimbang - bukan susu cap ABC atau XYZ. Ini kerana si anak telah terbiasa dengan pelbagai perisa yang terdapat dalam susu ibu, maka langkah seterusnya adalah eksplorrasi terhadap makanan sebenar tanpa mengecewakan citarasa yang telah terbentuk sejak dari bayi lagi.

2. Kedua, apalah ada pada tekstur susu semata-mata. Apabila anak sudah membesar, mereka perlu diberi peluang untuk merasai tekstur makanan yang berbeza-beza seperti keras, liat, lembut, kenyal dan pelbagai lagi. Tetapi jika mereka hanya dihidangkan susu, susu dan susu sahaja, pasti kebosanan akan melanda anak tersebut. Mereka perlu rasa bahawa daging itu liat, sayur perlu dikunyah perlahan-lahan, sup boleh dihirup, nasi boleh dimamah. Tidak seperti susu yang hanya dihisap dari botol sahaja.

3. Ketiga, warna pada susu amat membosankan. Paling hebat warna yang boleh dicampur adukkan dalam susu formula adalah warna putih, merah jambu atau coklat. Tetapi jika anak diberi peluang untuk mengenali makanan sebenar, mereka mengenal warna yang pelbagai lagi, kuning, jingga, hijau, ungu, merah, dan macam-macam lagi.

Ada banyak lagi sebab-sebab lain yang boleh difikirkan. Apa yang penting dan harus difahami oleh setiap ibu, tabii untuk seorang bayi adalah untuk minum susu ibu sahaja pada 6 bulan pertama. Tetapi sebaik umur anak mencukupi 6 bulan, bayi tersebut perlu diberi pendedahan terhadap pemakanan pejal yang seimbang sebagai pelengkap. Keutamaan pada peringkat umur 6 hingga 12 bulan adalah susu ibu kemudian makanan.

Tetapi apabila anak sudah menjangkau usia setahun, keutamaan harus diberikan kepada makanan pejal dan pelengkapnya adalah susu ibu.

Yang lengkap itu adalah pemakanan seimbang, bukan sekadar formula yang seimbang yang dilabelkan pada tin-tin yang berkilat lagi berwarna keemasan di pasaraya tempatan kerana ertikata sebenar lengkap itu adalah lebih meluas lagi mencakupi aspek pembelajaran dan eksplorasi anak sepanjang proses mengenali makanan tersebut.

Manusia ditakdirkan untuk membesar dengan pemakanan yang seimbang, bukan untuk bergantung dengan hanya minum susu sepanjang hayat.

Nasihat saya, apabila melihat iklan dikaca TV atau mendengar iklan di corong radio, nilaikan maksud tersirat lagi tersurat disebalik dakyah yang disebarkan. Jangan cepat terpengaruh!

Perkara ini akan saya kupas lanjut di dalam Majalah Pa&Ma pada bulan Ogos 2010. Sila dapatkan naskah anda masing-masing.

Tuesday, January 19, 2010

Masalah Penyusuan





Kebanyakan penyebab masalah penyusuan ialah seperti berikut


* Lewat memulakan penyusuan
* Penyusuan yang tidak kerap dan terlalu berjadual.
* Mencampurkannya dengan susu formula, air atau jus.
* Menggunakan puting kosong atau buaian elektrik
* Kedudukan menyusu dan cara hisapan yang tidak betul
* Bayi tidak diberi susu pada waktu malam. (Atau diberi susu formula atau susu ibu yang diperah)

PUTING SAKIT


Puting yang sakit ialah tanda-tanda hisapan yang tidak betul. Bila bayi menyusu, bibirnya perlu berada di luar dan seluruh bahagian areola berada dalam mulutnya. Untuk memperbaiki keadaan ini, tarik dagu bayi ke bawah dengan perlahan dan keluarkan bibirnya jika mendapati bibirnya termasuk ke dalam ketika menghisap. Jangan gunakan pelapik baju dalam yang kalis air jika mendapati puting sakit. Setiap kali hendak penyusuan selesai, perah sedikit susu dan sapu pada puting. Cara ini boleh membantu mempercepatkan ibu sembuh.

KEKELIRUAN PUTING


Bagi sesetengah bayi, hisapan pada puting kosong atau puting botol akan menjejaskan hisapan pada payu dara. Ini kerana pola hisapan antara puting botol dan payu dara adalah berbeza. Bayi yang pernah diberi susu botol akan menghisap payu dara ibu dengan cara yang sama seperti menghisap puting botol. Oleh itu, puting ibu akan terasa sakit. Hisapan pada puting botol juga tidak perlu terlalu kuat kerana susu mudah mengalir keluar dari botol. Apabila bayi menggunakan cara yang sama untuk menghisap puting payu dara ibu, susu ibu akan kurang mengalir keluar. Ini menyebabkan bayi tidak mendapat cukup susu manakala ibu menyangka susunya tidak cukup banyak untuk bayi. Dia terpaksa memberi susu botol. Ini menjadikan bayi lebih gemar susu botol dan akhirnya bayi kurang berminat dengan susu ibu. Lama kelamaan, bayi akan menyusu susu botol sepenuhnya. Bagi mengelakkan kekeliruan ini, nsaihatkan anak atau menantu anda agar memberi susu ibu sepenuhnya selama empat bulan. Jangan beri susu botol terlalu awal. Jika terpaksa mencampurkan susu ibu dengan susu formula, gunakan lah cawan kecil, sudu kecil, penyuntik ubat atau lain-lain peralatan.

BAYI MENGANTUK

Jika berat badan bayi tidak meningkat dengan baik dan sentiasa sahaja tertidur ketika menyusu, bayi perlu dikejutkan dengan kerap. Untuk mengatasi masalah ini, jangan balut bayi dan pastikan kulitnya bersentuhan dengan kulit ibu ketika sedang menyusu. Bagi mengatasi kesejukan, selimut bayi dengan kain selimut selepas meletakkan dia dengan betul di payu dara. Selain itu, urut kakinya bagi membuatkan dia terjaga.

SENDAWA


Sesetengah orang terutama dari generasi anda menyangka kita perlu membuatkan bayi sendawa selepas menyusu. Pendapat ini tidak tepat. Bayi tidak semestinya sendawa. Memang baik jika bayi sendawa selepas membuat beberapa percubaan untuk membolehkannya sendawa. Tetapi tidak mengapa jika dia tidak sendawa langsung setelah mencuba beberapa kali.

PEMAKANAN IBU DAN PENGAMBILAN AIR

Dalam kebanyakan kes, ibu menyusu perlu kira-kira 300-500 kalori lebih daripada biasa bagi mengekalkan berat badannya. Ibu menyusu perlu makan makanan seimbang dan makanan semulajadi. Elakkan makanan yang diproses. Jika bayi meragam, periksa samada ibu telah makan makanan yang tidak sesuai dan sensitif terhadap bayi. Minum lebih banyak air bagi menambah pengaliran susu. Tapi, jangan minum berlebihan. Minum sekadar untuk menghilangkan dahaga. Biasanya, ibu menyusu akan terlupa minum kerana sibuk menjaga anak. Terdapat juga kepercayaan lama bahawa ibu yang masih dalam pantang tidak boleh minum banyak air. Pendapat ini salah dan akan memberi kesan kepada pengaliran susu ibu.

ENGGAN MENERIMA BOTOL


Jika bayi enggan menerima susu ibu daripada botol ketika anak atau menantu anda bersedia untuk kembali ke tempat kerja, anda perlu latih cucu anda itu secara perlahan-lahan. Beri susu melalui botol dengan cara memangkunya dan mendodoinya perlahan-lahan. Anda juga boleh memberi susu melalui botol ketika dia mengantuk. Adalah lebih baik jika anda atau ahli keluarga lain yang memberikannya botol, bukan ibunya sendiri.

BERHENTI MENYUSU BUAT SEMENTARA WAKTU

Ada ketika, anak atau menantu anda tidak boleh menyusu bayi buat sementara waktu tapi masih mahukan agar susu terus mengalir kerana hendak mempastikan yang bayi tetap mendapat khasiat susu ibu. Oleh itu, galakkan anak atau menantu anda memerah susunya dalam jangkamasa yang sama dengan penyusuan susu ibu yang dilakukannya sebelum ini. Cara perahan yang baik ialah menggunakan tangan. Caranya ialah seperti berikut :- Letak ibu jari di atas puting dan dua jari lain di bawah, agak jauh daripada areola. Tolak jari ke belakang sehingga ke dinding dada. Kemudian, tolak semula ke depan. Lakukan beberapa kali. Elakkan memicit puting. Jika mempunyai payu dara besar, ampu payu dara itu dengan tangan yang sebelah lagi.

BAGAIMANA MENGETAHUI BAYI MENDAPAT CUKUP SUSU?


Bagi bayi yang menyusu susu ibu sepenuhnya, anda boleh mengetahuinya dengan cara :
Hisapan Bayi : Lihat cara bayi menghisap. Jika dia berhenti selepas setiap kali menghisap, ini bermakna dia mendapat susu yang banyak dan sedang menelan susu itu. Jika dia melakukan perkara ini berulang kali (hisap dan telan) selama beberapa minit, anda akan yakin bahawa dia sudah pun mendapat susu yang banyak.
Membuang Air Besar: Beberapa hari yang pertama, najis bayi berwarna hijau gelap dan melekit. Ini dipanggil "mekonium". Pada hari ketiga, najis akan menjadi lebih cair dan kekuningan. Bayi berusia di bawah enam minggu perlu membuang air besar sekurang-kurangnya 2-5 kali dalam tempoh 24 jam. Jika terlalu jarang membuang air, sistem penghadamannya mungkin sudah kukuh. Jika najis yang keluar setiap kali membuang air besar adalah sedikit jumlahnya, bayi akan lebih kerap membuang air besar, mungkin melebihi lima kali dalam tempoh 24 jam. Jika najis terlalu sedikit, berwarna hijau, kelihatan cair dan kerap pula membuang air kecil, ini mungkin menunjukkan bayi mengalami ketidakseimbangan antara susu pertama dan susu akhir. Mungkin juga bayi mengalami sindrom terlebih susu. Ini berpunca daripada kekerapan menukar payu dara setiap kali menyusu. Dengan cara ini, bayi hanya mendapat susu cair di peringkat awal penyusuan dan tidak mendapat susu yang pekat dan kaya dengan lemak yang hanya didapati di akhir penyusuan. Dalam kes ini, biarkan bayi menyusu pada sebelah payu dara sehingga payu dara menjadi lembut dan bayi berhenti menelan susu. Kemudian, baru lah menukar kepada payu dara lain. Jika mendapati pengaliran susu terlalu banyak, beri lah sebelah payu dara sahaja setiap kali menyusu. Keadaan ini mungkin bertentangan dengan amalan anda di suatu masa dahulu. Dahulu, anda dinasihatkan memberi susu menggunakan kedua-dua belah payu dara pada setiap penyusuan. Amalan ini tidak semestinya diikut kerana penyusuan pada sebelah payu dara akan mempastikan bayi mendapat segala khasiat yang diperlukan. Ingat! Susu yang keluar di peringkat awal penyusuan ialah susu pertama (foremilk) yang kaya dengan protin dan air, manakala susu yang keluar di akhir penyusuan ialah susu akhir (hindmilk) yang kaya dengan lemak. Biasanya, bayi yang berusia lebih dari tiga minggu, tidak lagi membuang air besar dengan kerap. Kadang kala, mereka tidak membuang air dalam tempoh beberapa hari, tanpa adanya tanda-tanda akan terkena sembelit. Jika bayi kelihatan sihat dan riang, perkara ini adalah normal.
Membuang Air Kecil : Bayi berusia di bawah enam minggu, sepatutnya membuang air sebanyak 7-8 kali sehari. Anda boleh mengetahuinya dengan mengira jumlah lampin yang basah. Jika memakai lampin pakai buang, jumlah lampin yang basah dan berat ialah antara 5-6. Jika memakai lampin kain, jumlahnya ialah 7-8 helai. Bagaimanapum, pada dua tiga hari selepas kelahiran, bayi hanya membuang air kecil sebanyak 2-3 kali sahaja kerana pada waktu itu, susu belum lagi dihasilkan sepenuhnya oleh payudara. Bayi yang lebih besar pula, kurang membuang air kerana pundi-pundi kencing mereka semakin matang. Bagaimanapun, air kencing mereka lebih banyak daripada bayi kecil. Air kencing bayi sepatutnya berwarna jernih dan sedikit berbau.

MENGENALPATI MASALAH


Segera dapatkan bantuan kesihatan jika mendapati :- · Bayi kurang membuang air kecil selepas hari ketiga kelahirannya; · Hisap bayi amat perlahan, lemah dan mengantuk setiap kali diletakkan di payu dara ; · Najis bayi masih berwarna hijau walaupun melepasi hari kelima kelahirannya; · Bayi tertidur di payudara sebelum menghisap susu dengan bersungguh-sungguh.

Bagaimana mendapatkan bantuan? Jika anak atau menantu anda mengalami masalah penyusuan dan tidak dapat menyelesaikannya, segera dapatkan bantuan sebelum membuat keputusan untuk menyuruhnya berhenti menyusu dengan susu ibu. Kebanyakan masalah boleh diselesaikan dengan mudah, menggunakan nasihat yang betul. Bagaimanapun, sesuatu masalah lebih mudah diatasi, jika bantuan dan nasihat diperolehi lebih awal.

Sumber dari:
http://www.susuanibu-pk.gov.my/penyusuan-susu-ibu-2.htm

Cerai Susu & Makanan Pejal



Soalan yang biasa didapati dari ibubapa:

* Berapa lamakah harus saya meneruskan penyusuan?
* Bilakah bayi saya perlu diberi makanan pejal?
* Bagaimana saya hendak tahu bila saya sudah bersedia untuk menerima makanan pejal?

Sebenarnya, hanya anda yang mengetahui masa yang terbaik untuk memulakan makan pejal kerana anda adalah orang yang paling mengenali bayi anda.

Untuk pengetahuan anda


* Susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi dalam tahunnya yang pertama.
* Kebanyakan bayi mula mengambil makanan pejal antara 4-6 bulan. Sesetengah bayi yang disusui dengan susu ibu mula mengambil makanan pejal ini antara 6-8 bulan.
* Memulakan makanan pejal terlalu awal boleh menyebabkan alahan dan "overfeeding". · Bayi mula berhenti menyusu apabila bayi sudah mengambil makanan lain secara tetap.

Tanda-tanda menunjukkan bayi sudah bersedia untuk makanan pejal:

* Bayi mula mencapai makanan yang terletak dihadapannya.
* Bayi meletakkan permainannya di dalam mulut
* Gigi mula tumbuh.

Memulakan makanan pejal

* Cuba perkenalkan makanan pejal pada masa bayi tidak lapar iaitu antara waktu susuan, satu atau dua kali sehari.
* Mulakan dengan satu sudu buah-buahan yang telah dihancurkan ataupun jus.
* Perkenalkan satu makanan baru setiap 3-4 hari. Ini dapat membantu anda mengenalpasti alahan yang didapati.
* Campurkan makanan dari semua kumpulan makanan untuk 3-4 bulan yng berikut.

Cadangan makanan pejal:


* Sayur-sayuran - bayam, lobak, labu.
* Buah-buahan - pisang, betik, epal.
* Daging - ayam, lembu, ikan.

Apabila bayi berumur 9 bulan, bayi mesti mendapatkan semua kumpulan makanan dalam sehari. Semasa menyediakan makanan bayi, pastikan garam tidak di tambahkan. Makanan bayi yang dibuat di rumah adalah yang terbaik kerana ia sentiasa segar dan tidak mengandungi sebarang pengawet.

Bilakah saya patut berhenti menyusukan bayi saya?

Tanya diri anda sendiri:

* Adakah bayi saya masih mahu terus menyusu?
* Adakah saya rasa seronok dan ingin terus menyusu?

Penyusuan boleh diberhentikan apabila anda dan bayi sudah bersedia, bukan kerana orang-orang disekeliling dan memberitahu:

* Anak anda sudah terlalu besar.
* Anak anda sudah mula tumbuh gigi dan selalu menggigit.
* Anda terlalu memanjakan anak anda.

Berhenti menyusu

Anda dinasihatkan untuk berhenti menyusu secara perlahan-lahan atau berperingkat. Ini memberi peluang kepada badan anda dan anak anda menyesuaikan diri. Bekalan susu anda akan mulai berkurangan apabila anda kurang menyusu. Setiap hari anda bolehlah memberi secawan susu atau jus buah-buahan sebagai ganti susu ibu. Selepas 3-4 hari, berikan secawan lagi untuk menggantikan penyusuan yang seterusnya. Teruskan begini sehingga anda tidak lagi menyusu. Rancangkan aktiviti lain untuk anak anda pada waktu penyusuan. Bapa boleh membantu dengan membawa anak anda ke taman permainan atau membaca buku untuk mengalihkan perhatian anak anda. Anak anda memerlukan lebih perhatian dan belaian semasa melalui proses ini.

Menyusu anak yang besar

* Sesetengah ibu gemar menyusui anak mereka yang sudah besar - lebih dari 1 atau 2 tahun.
* Ibu dan anak mendapat kepuasan dengan dakapan semasa penyusuan.
* Anak yang besar akan berhenti menyusu dengan sendirinya apabila mereka telah bersedia.
* Penyusuan dengan susu ibu akan membekalkan makanan yang baik untuk anak anda dan mengekalkan kesihatan anak, walaupun dia hanya menyusu sedikit sahaja.
* Lambat laun anak anda akan membesar dan hilang minat untuk terus menyusu.
* WHO serta UNICEF menggalakkan ibu untuk meneruskan penyusuan susu ibu selama 2 tahun atau lebih.
* Risiko untuk mendapat kanser payudara berkurangan apabila ibu menyusu dengan lebih lama.


Sumber dari:
http://www.susuanibu-pk.gov.my/penyusuan-susu-ibu-2.htm

Menyusukan Bayi tidak cukup bulan & Memerah Susu Ibu

Susu anda adalah susu yang paling sesuai untuk anak anda yang tidak cukup bulan.

* Ia melindungi bayi anda dari kuman dan infeksi.
* Susu ibu mudah di cerna.
* Mendekatkan hubungan ibu dan bayi.
* Susu ibu baik untuk perkembangan otak.

Bayi yang dilahirkan secara tidak cukup bulan mungkin tidak tersedia untuk menyusu dalam beberapa hari, kadangkala beberapa minggu. Anda bolehlah memerah susu anda sejurus selepas kelahiran untuk memberi kapada bayi. Jika anda perlu menggunakan pam, hubungilah Kaunselor Laktasi mengenai pam susu. Terdapat pelbagai jenis pam di pasaran sekarang. Mintalah nasihat untuk membeli pam yang paling sesuai dengan keperluan anda.

Memerah susu

* basuh tangan anda dengan sabun dan air.
* Duduklah di tempat yang sunyi tanpa ramai orang yang lalu lalang.
* Duduk dalam keadaan selesa di kerusi yang tegak dengan kaki tersokong.
* Sediakan minuman di sebelah anda.
* Tarik nafas dan relaks.
* Cuba urutkan payu dara untuk beberapa minit sebelum dan semasa memerah susu.
* Bayang dan fikirkan tentang anak anda.
* Jika perlu sediakan muzik/lagu yang menyenangkan.
* Anda sekarang sudah bersedia untuk memerah atau mengepam susu.

Waktu terbaik untuk memerah susu


* cuba perah atau pam susu anda setiap 3 jam pada siang hari dan sekali selepas tengah malam.
* Buatlah perancangan awal agar dapat memerah sekurang-kurangnya 6 kali dalam sehari.
* Lakukkan proses pemerahan 10-15 pada setiap payu dara. Anda mungkin mahu memerah secara bergilir-gilir pada kedua belah payu dara dalam satu sesi pemerahan.
* Pemerahan yang kerap adalah satu-satunya cara untuk mengekalkan bekalan air susu.
* Pastikan anda mempunyai waktu rehat yang mencukupi.

Cara menyimpan susu ibu yang diperah

* Susu ibu yang diperah boleh di simpan di dalam botol atau bekas yang telah disterilkan. Gunakan bekas yang dibuat dari plastik.
* Ia boleh tahan disimpan seperti berikut: 2 hari - di dalam peti sejuk (chiller) 2 minggu - di dalam peti sejuk beku (freezer) peti sejuk dua pintu 3 bulan - peti sejuk beku (freezer)
* Gunakan bekas/botol steril baru setiap kali susu diperah.
* Catatkan nama,tarikh dan masa perahan pada botol/bekas yang disimpan.

Persediaan untuk pulang ke rumah

* Ada juga hospital di mana ibu dibenarkan tinggal di hospital semasa bayi berada di unit kawalan rapi. Jika ini tidak dibenarkan, ibu perlu melawat hospital setiap hari untuk beberapa sesi penyusuan.
* Hubungan rapat antara anda dan bayi anda akan memberikan anda keyakinan diri untuk menjaganya di rumah ketika pulang kelak. Cara ini juga dapat memastikan bayi anda dapat susu anda.
* 2-4 hari sebelum bayi dibenarkan pulang, cuba dapatkan kebenaran untuk tinggal di hospital dan susui bayi anda sepenuh masa.

Mula menyusu


* Sebaik sahaja bayi anda stabil dan boleh bernafas dengan baik, dakaplah bayi anda di dada.
* Buatlah dakapan dengan sentuhan kulit ke kulit.
* Pegang bayi, riba dengan sokongan bantal.
* Jika anda merasa tidak yakin untuk menjaga bayi ini, perkara seperti ini adalah normal. Anda dan bayi anda memerlukan masa untuk belajar.
* Walaupun kemajuan yang dicapai agak lambat, anda perlu bersabar. Saat-saat manis ini merupakan saat-saat istimewa antara anda dan bayi anda.

Pulang ke rumah

* Galakkan bayi anda untuk menyusu dari payu dara setiap 11/2 -3 jam.
* Perahkan/pamkan susu selepas penyusuan dalam 2-3 minggu pertama. Ini dapat membantu untuk mengekalkan bekalan yang mencukupi. Susu yang di perah ini merupakan susu akhir yang kaya lemak. Ini boleh digunakan sebagai tambahan bila diperlukan kelak.
* Jika bayi anda menghasilkan 6 lampin basah dan 2 lampin kotor sehari, ini bererti bayi mendapat susu yang mencukupi.
* Anda mungkin perlu memberi susu tambahan (perahan susu ibu) dari cawan atau penitis selepas anda menyusuinya. Jarang sekali bayi diberi "susu berformula" kerana ini tidak digalakkan.
* Hubungilah Kaunselor Laktasi anda yang terdekat untuk maklumat lanjut.

Sumber dari:
http://www.susuanibu-pk.gov.my/penyusuan-susu-ibu-2.htm

Mula Menyusukan Bayi

Penyusuan Pertama

* Susui bayi anda dalam 1 jam yang pertama selepas kelahiran. Ini mempercepatkan pembentukan susu. · Pastikan posisi anda selesa.
* Sentuhkan puting anda diatas mulut bayi sehingga mulutnya dibuka luas.
* Pastikan bayi anda menghisap keseluruhan puting dan 1 inci tampuk anda.
* Bayi anda tidak memerlukan susu berformula atau air. Susu anda adalah makanan yang terbaik untuknya.
* Cuba menyusu pada kedua-dua belah payu dara pada setiap susuan.
* Bayi yang baru lahir perlu disusui setiap 2-3 jam, siang dan malam.
* Susukan bayi jika ia kelihatan lapar.

Skedul Penyusuan


* Bagi minggu-minggu pertama, anda mungkin perlu mengejutkan bayi dari tidur untuk diberi susu. Kejutkan bayi setiap 2 jam pada waktu siang. Bayi akan dapat menyesuaikan dirinya dengan siang dan malam.
* Biarkan bayi menyusu selama mana boleh. Jika masa penyusuan terlalu singkat, bayi mungkin menjadi lapar kerana tidak mendapat susu yang cukup.
* Bayi yang diberi susu ibu tidak memerlukan botol susu. Memberi bayi menghisap dari botol susu boleh mengurangkan bekalan susu dan juga menjadikan bayi keliru.

Adakah susu ibu sahaja mencukupi?

YA! Anda mempunyai bekalan susu yang mencukupi apabila:


* Anda menyusukan bayi anda 8-12 kali dalm 24 jam.
* Bayi mempunyai sekurang-kurangnya 6 lampin basah dan 2 lampin kotor dalam masa 24 jam. Najis bayi yang menyusu dengan susu ibu berwarna kekuningan dan lembut/cair.
* Kenaikan berat badan bayi anda ialah 120-200gm seminggu.
* Bayi anda kelihatan senang dan tidak lapar selama 1-2 jam diantara waktu penyusuan.

Penjagaan Puting

Keringkan puting anda di udara selepas setiap penyusuan, sapukan sedikit susu yang telah diperah pada puting, ia dapat membantu dalam penyembuhan dan perlindungan puting.

Menggunakan diari penyusuan

* Anda boleh menggunakan diari penyusuan ini untuk memudahkan rujukan semasa perbincangan dengan Kaunselor Penyusuan sekiranya anda ingin mengetahui lebih mengenai penyusuan.
* Catatkan masa anda mula menyusu. Catatkan jangkamasa penyusuan di setiap belah payu dara. Catatkan diruangan basah atau kotor setiap kali lampin bayi ditukar.
* Mulakan pada muka surat yang baru setiap hari. Ini membolehkan anda melihat pula jadual penyusuan sehari (24 jam) dalam satu muka surat.

"Tumbesaran pantas"


Bayi akan melalui proses "tumbesaran pantas" pada masa: 2 minggu, 6 minggu, 3 bulan. Semasa proses ini, ibu biasanya merasakan tidak mempunyai bekalan susu yang mencukupi. Bayi perlu disusui lebih kerap lagi, bagi memenuhi keperluan bayi. payu dara anda akan menghasilkan lebih susu apabila kekerapan penyusuan bertambah. Sebenarnya, bayilah yang mempengaruhi bekalan susu yang ada. Payu dara mengambil masa 2 hari untuk menambahkan bekalan susu. Selepas proses "tumbesaran pantas" ini, bayi akan kembali pada pola penyusulan yang asal

Sumber dari:
http://www.susuanibu-pk.gov.my/penyusuan-susu-ibu-2.htm

Mengejutkan Bayi Yang Mengantuk

Bayi yang mengantuk

Jika bayi anda sedang tidur dan anda ingin mengejutkannya untuk menyusu, anda bolehlah mencuba teknik-teknik ini:

* Tanggalkan pakaian dan lampin bayi.
* Dakapkan bayi dengan sentuhan kulit ke kulit.
* Urutkan bayi dengan pergerakan lembut jari-jari tangan dan kaki ke dada.
* Usap tangan dan kaki bayi.
* Sentuh dan usap belakang badan bayi dengan jari-jari anda.
* Dengan jari yang bersih sentuh pipi bibir dan mulut bayi.
* Geletek dagu bayi.
* Bercakap dan nyanyi pada bayi dengan nada suara yang normal.
* Salinkan lampinnya.
* Sapukan muka bayi dengan tuala pelembap.
* Gerakkan bayi perlahan-lahan.


Sumber dari:
http://www.susuanibu-pk.gov.my/penyusuan-susu-ibu-2.htm

Menuju ke arah penyusuan Efektif

Mengenali Penyusuan Efektif

Susuilah bayi anda mengikut keselesaan anda dan bayi. Biasanya bayi yang baru lahir menyusu 12 kali sehari Bagi setiap penyusuan yang efektif anda harus:

* memegang bayi dalam posisi yang selesa tanpa menegangkan bahagian belakang, bahu, lengan ataupun tangan.
* Penggunaan bantal untuk membantu meninggikan kedudukan bayi dapat mengelakkan lengan dari menjadi lenguh. Jika saiz payu dara anda agak besar, gunakan kain lampin yang telah digulung untuk disendalkan di bawah payu dara sebagai sokongan. Kain lampin gulung yang diletakkan di bawah lengan atau tangan juga dapat menyokong kepala bayi dan mengelakkan ketegangan otot lengan.
* Kekalkan kedudukan, mulut bayi akan merangkumi keseluruhan puting dan 1 inci bahagian tampuk susu. Bibir atas dan bawah bayi tergulung sedikit terkeluar dan dagunya mencecah payu dara

Menyusu dengan selesa


* Anda mungkin merasakan satu sensasi tegangan lembut pasa puting dan areola (tampuk susu) semasa menyusu. Jika penyusuan di laksanakan dengan betul, anda akan merasa selesa. Jika anda mengalami kesakitan, berhenti menyusu dan mula semula.
* Lihat pergerakan mulut, leher dan dahi bayi. Apabila bayi anda menyusu dengan baik, anda akan melihat pergerakan mulutnya. Anda juga dapat melihat pergerakan dahi dan leher bayi semasa aktiviti penelanan susu.
* Mendengar bunyi susu ditelan. Bayi mungkin menghisap dengan pantas pada permulaan susuan diikuti dengan penelanan susu. Kadangkala bayi berhenti seketika sebelum sambung menghisap semula.

Bagi mencapai keselesaan pada setiap penyusuan:

* Bayi yang lapar akan menghisap dengan pantas pada awal penyusuan. Apabila penyusuan diteruskan untuk beberapa minit, bayi menjadi lebih selesa dan akan menghisap dengan lebih perlahan.
* Semasa menyusu, bayi mungkin tertidur. Ini adalah tanda yang bayi sudah kenyang.
* Bayi yang mendapat susu yang mencukupi tidak banyak merengek. Bayi yang baru lahir mungkin terjaga dari tidur bila dialihkan kedudukannya ke atas katil atau tilam. Cuba dakap bayi, ini dapat menenangkannya. Jika bayi tetap menangis dan merengek, hubungi Kaunselor Laktasi anda.
* Selepas hari ketiga, bayi yang mendapat susu yang mencukupi akan mendapat 6 lampin basah dan 2 lampin kotor sehari. Jika bilangan lampin yang di tukar kurang bilangan di atas, sila hubungi doktor pakar kanak-kanak atau kaunselor Laktasi.